YB Puan Connie Tan Hooi Peng
Ketua Menteri
N26 - Padang Kota
Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi
Anak jati Pulau Pinang ini merupakan lulusan bidang Undang-Undang dari United Kingdom. Mula berkecimpung dalam politik dengan menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP) ketika berusia 22 tahun, sebaik sahaja menamatkan pengajian di universiti. Beliau menyertai DAP kerana ideologi dan semangat perjuangan parti untuk rakyat.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ahli Majlis bermula 2014 sewaktu berumur 24 tahun. Bagaimanapun, beliau berehat seketika untuk melanjutkan pelajaran antara tahun 2016 hingga 2017. Tamat sahaja pengajian, beliau kembali berkhidmat dengan Majlis sehingga hari ini.
Puan Connie Tan juga merupakan seorang sosial demokrat yang percaya pada kebebasan, keadilan dan solidariti. Beliau mahu memperjuangkan pelbagai isu seperti kemanusiaan, kebajikan pekerja, pembantu rumah, pendidikan, kesihatan, mental dan kesaksamaan gender. Di samping itu beliau berhasrat untuk membawa perubahan positif di Pulau Pinang dan
akan terus berusaha demi rakyat yang disayangi.
Pada Pilihanraya Negeri Pulau Pinang 2023, beliau telah bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Seri Delima dan berjaya menawan kerusi tersebut dengan majoriti 12,434 undi.
"Terpilih menjadi Ketua Menteri sidang wanita yang pertama merupakan satu pengalaman yang istimewa dan tidak akan dilupakan. Selain teruja, saya sangat berbangga kerana setiap perwakilan memberi kerjasama yang baik dan memainkan peranan masing-masing. Setiap perwakilan menggunakan platform ini dengan penuh tanggungjawab serta bersuara demi mengangkat isu-isu rakyat dan wanita. Sidang ini pastinya telah melahirkan ‘Connie Tan’ yang baharu dengan pengalaman dan ilmu yang sangat berguna. Saya bangga bergelar alumni Sidang Wanita Pulau Pinang!"
Puan Nor Afni Md. Yusuff
Timbalan Ketua Menteri 1
N03 Pinang Tunggal
Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti
Pemegang ijazah Pendidikan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua ini pernah mengikuti pertukaran Fulbright ke Amerika Syarikat (AS). Beliau juga berpengalaman mengajar bahasa Inggeris di kolej awam dan swasta sejak 12 tahun lalu.
Sejak di AS, beliau terlibat secara aktif dalam kegiatan sukarelawan dan meneruskan amalan ini setelah kembali ke Malaysia. Beliau berhasrat untuk memperjuangkan pelbagai isu termasuklah pertanian bandar dan
pemberdayaan wanita. Beliau pernah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Sebelum menyertai Sidang Wanita, saya fikir akan gagal dengan teruk. Namun setelah menyertai persidangan, kawan-kawan memberitahu yang saya sebenarnya berbakat. Program ini mengajar kami supaya siap siaga dan memberi reaksi segera ketika menerima soalan yang tidak dijangka semasa bersidang.
"Peluang berbahas di hadapan speaker DUN sebenar merupakan peluang keemasan yang bukan semua orang dapat. Ia penuh dengan pengalaman berharga yang tidak akan dilupakan!"
Puan Kalpana Munusamy Naidu
Timbalan Ketua Menteri 2
N16 Perai
Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains & Teknologi
Mempunyai Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Sains Malaysia dan berpengalaman sebagai Senior Human Resource Partner selama 18 tahun dengan syarikat antarabangsa.
Beliau juga seorang perunding dan fasilitator berpengalaman yang bekerjasama rapat dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Wanita dan pasukan sukarelawan untuk menghapuskan keganasan terhadap wanita, kanak-kanak selain mempromosikan kesaksamaan gender. Beliau juga adalah Pengerusi Penganjur untuk Persidangan Pemerkasaan Wanita 2017 di bawah YB Puan Chong Eng.
Beliau mahu menjadi agen perubahan untuk mempromosikan kesaksamaan gender selain menghapuskan keganasan terhadap wanita. Beliau juga mahu wanita diberi kuasa dan kebebasan untuk berdikari.
"Saya sangat menghargai usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang menganjurkan Sidang Wanita sebagai usaha memperkasa dan fokus dalam meningkatkan pemberdayaan wanita supaya terus relevan dan berperanan penting dalam pelbagai bidang termasuk politik. Sidang ini juga memberi peluang kepada saya menyertai sendiri proses perbahasan sebagaimana dalam Dewan Undangan Negeri yang sebenar."
Puan Tan Soo Siang
EXCO
N15 Padang Lalang
Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam
Memiliki ijazah Ekonomi dari University of Newcastle, Australia, beliau juga berpengalaman bekerja sebagai Pegawai Khas di pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pulau Pinang.
Beliau kemudiannya berhenti kerja dan menubuhkan Pertubuhan Old Folks Village, yang merupakan sebuah pusat jagaan warga emas. Pada 2020, beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hingga sekarang.
"Menyertai Sidang Wanita merupakan peluang yang sangat berharga kerana sidang ini menghimpunkan ramai wanita daripada pelbagai latar belakang. Melalui platform ini, kami dapat menunjukkan kebolehan dan prestasi wanita sebagai pemimpin. Sesungguhnya suara wanita boleh diangkat ke peringkat yang lebih tinggi."
Puan Fazira Ahmad Ridzuan
EXCO
N29 Datok Keramat
Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa
Puan Fazira Ahmad Ridzuan merupakan lulusan dari Universiti Sains Malaysia dalam bidang Sains Komputer dan kini berkhidmat sebagai Pegawai Seranta kepada YB Tuan Lee Chun Kit.
Beliau juga pernah dilantik menjadi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Pulau Pinang dan kini merupakan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bangkok Lane dan ahli jawatankuasa (AJK) Wanita Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang. Beliau juga merupakan Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Bahagian Bukit Bendera.
Beliau mahu memperjuangkan supaya infrastruktur dan kemudahan awam bersifat mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kemudahan yang selamat untuk warga emas, wanita dan kanak-kanak.
"Sidang Wanita memberi peluang kepada saya untuk berkenalan dengan ramai insan hebat dan berpengalaman selain mempunyai pelbagai pencapaian. Apabila bersama mereka, saya berasa bersemangat dan mahu melakukan sehabis baik."
Puan Siti Shahanis Md Sharif
EXCO
N07 Sungai Puyu
Alam Sekitar & Kebajikan
Merupakan lulusan Universiti Malaya dalam Ijazah Biokesihatan, beliau juga memiliki Sarjana Sains Psikologi dari Universiti Sains Malaysia. Beliau kini bekerja sebagai Pegawai Sains di sebuah hospital awam.
Beliau selalu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menyampaikan sumbangan kepada penduduk setempat dan membantu menyelesaikan masalah mereka.
Beliau seorang yang berani melontarkan pendapat dan berkeyakinan apabila berhadapan dengan sebarang cabaran. Beliau mahu memperjuangkan usaha ke arah memperkasa ekonomi wanita khususnya buat mereka yang telah berkeluarga dan mempunyai kekangan untuk bekerja secara sepenuh masa. Beliau mahu memastikan wanita mempunyai sumber pendapatan walaupun bukan bekerja secara fizikal.
"Terima kasih Kerajaan Negeri dan PWDC atas peluang yang diberikan kepada saya sebagai EXCO Alam Sekitar dan Kebajikan. Program ini telah menghakis perasaan malu dan gugup saya terutama apabila berdepan dengan orang ramai. Saya berharap program ini akan dapat diteruskan dan menjadi acara tahunan."
Puan Noorzawani Mohamad Imran
EXCO
N22 Tanjong Bunga
Infrastruktur & Pengangkutan
Pernah mengikuti persekolahan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, beliau kini sedang melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang Komunikasi di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) secara sambilan.
Beliau merupakan Pegawai Seranta di pejabat Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Lalang dan pernah berkhidmat sebagai sukarelawan bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Rice & Roses yang banyak membuka matanya tentang dunia luar.
Beliau mahu kanak-kanak diberi peluang pendidikan yang sama rata dan berharap Malaysia menghapuskan sistem kuota khususnya dalam pendidikan. Beliau mahu semua kanak-kanak dan remaja mendapat akses pelajaran tanpa mengira status warganegara atau bangsa, sebaliknya kelayakan dibuat berdasarkan merit pendidikan semata-mata.
"Sidang Wanita memberi peluang kepada saya menyuarakan fakta dan hebahan kepada rakyat mengenai usaha yang dilakukan kerajaan. Sidang ini juga membuatkan saya sedar betapa pentingnya wanita menyertai politik untuk mewujudkan polisi dan dasar yang mesra wanita, kanak-kanak dan keluarga."
"Suara kita, suara wanita, suara rakyat!"
Puan Rachel Teh Chuann Yien
EXCO
N37 Batu Maung
Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan
Beliau mempunyai kelulusan dalam bidang Undang-Undang dan berpengalaman sebagai peguam selama satu tahun setengah. Beliau menyifatkan dirinya dikenali sebagai ‘bulldog’ atau individu yang degil dalam kalangan kenalan kerana akan berusaha sehingga dapat apa yang diperjuangkan.
Beliau juga bukan seorang yang suka berada dalam pejabat sematamata. Justeru beliau banyak bergiat dalam bidang yang berbeza termasuk Pengurusan Sukan dan perniagaan. Beliau juga sudah mula memasuki
bidang politik.
Impian beliau ialah mahu membantu golongan minoriti yang tersisih akibat dasar yang dibuat golongan majoriti supaya lebih inklusif dan tiada diskriminasi kepada mana-mana pihak. Selain itu, beliau berimpian untuk memperkenalkan perubahan-perubahan yang boleh mendatangkan impak positif kepada golongan komuniti.
"Peluang menyertai Sidang Wanita sangat berharga kerana berpeluang menjadi ‘YB Sehari’. Pengalaman itu membuatkan saya sedar betapa pentingnya nilai tanggungjawab kepada rakyat selain mengotakan apa yang dijanjikan kepada mereka. Selain membuat kajian mengikut portfolio dalam masa singkat, sidang ini juga meningkatkan keyakinan saya dalam pengucapan awam. Biarkan suara anda didengari walaupun persekitaran tidak menyebelahi anda."
Puan Heng Yeh Shiuan
EXCO
N34 Paya Terubong
Pelancongan dan Ekonomi Kreatif
Pemegang ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Tunku Abdul Rahman ini telah dilantik sebagai Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sejak tahun 2016.
Beliau dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang dan Ahli Jawatankuasa DAPSY Kebangsaan bagi tahun 2018 hingga 2021. Pada tahun 2020, beliau turut dilantik menjadi Bendahari Pemuda Pakatan Harapan Pulau Pinang.
Harapannya, beliau mahu lebih ramai wanita terlibat sebagai pembuat keputusan sama ada dalam bidang politik atau korporat. Bagi beliau, wanita perlu terlibat dalam penggubalan dasar dan undang-undang terhadap
keperluan wanita dan keluarga seperti peruntukan atau bajet serta lain-lain.
"Sidang Wanita Pulau Pinang menyediakan platform kepada golongan wanita daripada pelbagai latar belakang supaya lebih memahami peranan dan tanggungjawab wakil rakyat. Program ini juga dapat mencungkil bakat wanita dan meyakinkan wanita untuk tampil ke hadapan. Penyertaan wanita sebagai penggubal dasar dan undang-undang adalah penting dalam pembangunan negara"
Puan Normahani Muhamad
EXCO
N08 Bagan Jermal
Belia dan Sukan
Mempunyai Ijazah Pendidikan opsyen Biologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sarjana Pengurusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM), beliau berpengalaman sebagai guru selama 32 tahun.
Selama mengajar, beliau pernah memegang jawatan Guru Kanan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Ketua Penolong Pengarah Sains di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang. Pada 5 tahun terakhir perkhidmatan, beliau diamanahkan menjadi Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Alma, Bukit Mertajam.
Pelbagai pencapaian diperoleh termasuk terlibat dalam membina modul di peringkat daerah dan negeri, bertindak sebagai penceramah teknik menjawab soalan selain turut melonjakkan nama sekolah dalam pencapaian akademik, pengurusan dan sukan ketika menjadi pengetua.
Beliau mahu terus memperkasakan dan memajukan diri dalam segala bidang yang diceburi sekali gus mahu membantu orang lain untuk maju dan cemerlang.
"Sejarah yang tidak dapat dilupakan apabila terpilih menyertai Sidang Wanita bersama wanita-wanita hebat yang lain. Keyakinan saya bertambah khususnya ketika berada di tengah-tengah khalayak bagi memperjuangkan hak wanita bersama yang lain. Bagi saya, program Sidang Wanita oleh PWDC ini amat berjaya dan perlu diteruskan pada masa-masa akan datang. Tahniah dan terima kasih semua."
Puan Nurfarah Zafirah Foo Abdullah
EXCO
N12 Penanti
Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar
Bandar & Kesihatan
Berkelulusan dalam bidang Perniagaan dan Kewangan, beliau merupakan Pengurus Wilayah Compliance & Ethics. Beliau merupakan Pengerusi Badan Bukan Kerajaan, NGO Persatuan Kebajikan Lingkaran Harapan, Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Tanjung Bungah, Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Desiran Tanjung serta Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Pulau Pinang.
Menyifatkan wanita perlu lebih yakin kepada kebolehan diri sendiri dan percaya yang mereka adalah setanding dengan lelaki dalam apa jua bidang dan lebih ramai wanita perlu tampil ke hadapan untuk memegang jawatan pembuat keputusan.
Beliau mahu mengecilkan jurang gender dalam pendidikan kanak-kanak perempuan khususnya mereka yang berasal daripada keluarga susah atau bermasalah. Beliau juga mahu memastikan pelajar wanita menghabiskan pendidikan asas yang ditetapkan kerajaan dan tidak dibelenggu isu eksploitasi seksual, perkahwinan dan kehamilan bawah umur serta perkahwinan paksa. Beliau juga ingin memperjuangkan supaya jumlah penglibatan wanita dalam semua peringkat pembuat keputusan ditambah.
"Sidang Wanita telah memberi pendedahan kepada perjalanan sidang DUN. Persidangan ini memberi keyakinan bahawa saya mampu menjadi ADUN jika diberikan peluang pada pilihan raya akan datang. Sidang wanita adalah satu platform yang baik untuk mencungkil bakat wanita"
Puan Nurul Aina Jamaluddin
N06 Telok Ayer Tawar
Beliau merupakan seorang mahasiswa Tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Projek dari Universiti Malaysia Pahang.
Beliau banyak melibatkan diri dengan aktiviti kesukarelawan malah turut mewakili Malaysia bagi Persidangan Belia ASEAN. Beliau juga bergiat aktif dalam Puteri UMNO dan merupakan penggerak UMNO SISWI yang banyak mengetengahkan isu-isu semasa berkaitan wanita di universiti.
Beliau berharap suara wanita lebih didengari selain diberi peluang untuk memikul jawatan dalam tampuk kepimpinan. Jika diberi peluang, beliau mahu memperjuangkan isu kesaksamaan gender kerana baginya, martabat wanita perlu diangkat lebih tinggi selain menghapuskan stigma wanita hanya duduk di rumah untuk memasak.
"Sidang wanita memberi kefahaman tentang selok belok DUN, memberi lebih keyakinan untuk melontarkan pendapat dan idea dalam sesuatu perkara. Saya berharap sidang ini dapat diteruskan malah mungkin boleh dijadikan sebagai jawatan tetap sepertimana ADUN Belia di negeri lain seperti Kelantan dan Terengganu. Jadi, dengan cara ini suara wanita dapat dibawa ke atas bukan sekadar simulasi."
Puan Noor Azuawati Ahmad
N09 Bagan Dalam
Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian) Sistem Maklumat dari Universiti Tenaga Nasional. Pernah bekerja sebagai Eksekutif Pentadbiran pada 2010 sebelum menjadi tenaga pengajar di Rohingya Education Centre (REC) manakala pada 2019, beliau bertugas sebagai Penyelaras Menengah di pusat yang sama.
Beliau juga berkhidmat di Pusat Khidmat YB Hajah Dr Norlela Ariffin sebagai Pegawai Seranta pada 2015-2018. Pada Julai 2020, beliau berkhidmat sebagai Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
"Sebelum ini saya kurang berkeyakinan untuk bercakap di tempat awam. Saya berpeluang membangkitkan isu setempat, menyuarakan suara rakyat dan memberi cadangan penambahbaikan sama sepertimana seorang YB lakukan. Pengalaman membuat soalan bertulis dan lisan sebelum bersidang juga mencabar. Saya harap program ini diteruskan pada setiap tahun."
Puan Goh Siew Kim
N10 Seberang Jaya
Lulusan Sains Komputer dan Statistik dari University Dalhousie, Kanada kini terlibat dalam pengurusan acara dan perkahwinan yang menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk sistem pencahayaan dan bunyi, dekorasi dan hadiah.
Beliau pernah disenaraikan dalam Malaysia Book of Records, Karnival Makanan Amal. Lebih 70 gerai yang menyertai program amal tersebut menerima usul dan jemputan daripadanya.
Beliau berharap lebih ramai wanita melangkah ke hadapan untuk bersuara dan bagi tujuan tersebut tegasnya, wanita perlu diberi peluang ke arah itu.
"Program Sidang Wanita membuatkan saya lebih bersemangat untuk bersuara apabila berdepan isu kesaksamaan gender. Mungkin kerja-kerja yang sedia ada atau projek semasa boleh diberi keutamaan kepada kita atau golongan yang terpilih untuk mencungkil dan mengasah bakat. Program ini memang memberi manfaat besar kepada kami yang terpilih. Kita seakan berada dalam situasi sebenar dan membuat persiapan untuk masa depan"
Puan Siti Humaira Mohamed Yasin
N11 Permatang Pasir
Beliau merupakan graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam jurusan Komunikasi yang memperoleh ijazah dengan kelas pertama. Beliau merupakan pelatih di Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) ketika menyertai Sidang Wanita dan kini bekerja di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) KOMTAR.
Beliau menggunakan sebaik mungkin ilmu, perkongsian dan pengalaman yang diperoleh sepanjang belajar dan bertugas di empat lagi Pusat Khidmat ADUN di Pulau Pinang.
Beliau berharap satu hari nanti wajahnya akan terpapar di skrin besar Dewan Undangan Negeri (DUN) lagi untuk Sidang Wanita 2021. Beliau juga mahu mengajak lebih ramai wanita untuk menyertai sidang wanita akan datang.
"Saya bersyukur kerana menjadi salah seorang yang terpilih. Pada awalnya, saya berasa kurang yakin untuk berbahas di DUN kerana para peserta bukan calang-calang orangnya. Namun, sebaik selesai berbahas, saya rasa diri mampu untuk bersuara di hadapan 40 wanita hebat yang lain dan sudah tentu kemahiran komunikasi juga dapat diperbaiki. Keseluruhannya, program ini mampu mencari pelapis pemimpin wanita di Pulau Pinang untuk masa hadapan."
Puan Ks. Pakyalakshmi Subramanian
N13 Berapit
Beliau merupakan Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Pembangunan Wanita Tamarai Pulau Pinang yang giat menjalankan program memperkasa wanita dan keluarga melalui pendidikan kemahiran.
Dalam tempoh 9 tahun, pertubuhan ini berjaya berjaya melaksanakan 186 program di seluruh Pulau Pinang dan Kedah dalam usaha melahirkan wanita yang berdaya saing dalam bidang keusahawanan dengan mengaplikasikan kemahiran dipelajari termasuk jahitan, masakan, pembuatan aksesori dan kemahiran-kemahiran lain yang boleh menjana pendapatan. Pertubuhan Pembangunan Wanita Tamarai Pulau Pinang turut membimbing para peserta untuk memulakan perniagaan.
Beliau bersama NGO berkenaan mahu mengubah destinasi dan hala tuju wanita melalui pendidikan kemahiran yang menjadi visi pertubuhan itu. Melalui kemahiran, wanita boleh menjana pendapatan sekali gus dapat mengubah kehidupan.
"Melalui NGO Pertubuhan Pembangunan Wanita Tamarai Pulau Pinang, saya menyertai sidang ini yang mengajar dan dan memberi pengalaman baharu termasuk aspek politik yang tidak pernah saya sertai sebelum ini. Saya berpeluang mendalami tugas dan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat sekali gus mengajar saya bagaimana untuk menjadi pemimpin masyarakat yang berkualiti."
Puan Nurliyana Mohd Ramzi
N14 Machang Bubok
Lulusan bidang Syariah Undang-Undang ini kini bekerja sebagai Pegawai Seranta, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) N38, Bayan Lepas.
Beliau juga pernah memegang jawatan Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 2018-2019. Pengalaman terlibat dalam program komuniti membuatkan beliau mempunyai ramai kenalan. Beliau sebelum ini merupakan seorang yang pendiam dan tidak berani untuk bersuara.
Dalam Sidang Wanita, beliau telah memperjuang mengenai isu penyertaan dan kuota 30% wanita dalam pembuat dasar. Jelasnya bagi mencapai hasrat itu, wanita perlu berani dan tidak mudah berputus asa untuk
mencapai impian. Jika diberi peluang, beliau juga mahu membawa isu hak wanita dalam aspek kekeluargaan.
"Program Sidang Wanita mengubah diri saya yang sebelum ini tidak berani bersuara, kini mampu bersuara dan malah kini saya sedar yang diri ada potensi itu. Bagi saya, sidang ini sangat bagus kerana memberi peluang kepada wanita untuk mengenal potensi diri selain mencungkil bakat wanita khususnya golongan muda"
Puan Cherish Chee Lye Yung
N17 Bukit Tengah
Merupakan graduan dalam bidang Industri Kimia dari Universiti Malaysia Sabah. Beliau pernah bertugas sebagai pembantu ahli farmasi sebelum menceburi bidang kewangan dan pendidikan.
Beliau juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan kini bertugas sebagai Pegawai Khas kepada EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Beliau sentiasa bersemangat dalam berusaha untuk memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan selain memastikan semua janji dikotakan.
"Sidang Wanita memberi peluang kepada wanita untuk membawa cadangan ke dalam dewan. Terdapat banyak cadangan yang agak baik telah dibentang dan ini membuktikan kebolehan dan kewibawaan wanita-wanita. Saya bersyukur kerana dapat menyertai sidang ini buat pertama kali"
Puan Aiman Fashehah Ahmad
N18 Bukit Tambun
Merupakan graduan dalam bidang Perakaunan dari Univerisiti Teknologi Mara (UiTM) dan kini bekerja dalam bidang Pengurusan.
Beliau adalah seorang yang berpegang kepada prinsip ‘matlamat tidak menghalalkan cara’.
Beliau tidak mahu berpaling ke belakang, sebaliknya akan terus melangkah untuk mencapai segala impian. Paling penting baginya, beliau mahu kehadirannya memberi impak positif kepada orang sekeliling.
"Sidang Wanita membuka minda dan memberi gambaran sebenar, realiti dan tanggungjwab sebagai orang yang diamanahkan oleh rakyat untuk membawa suara, masalah dan pandangan kepada pihak atasan untuk didengar dan diteliti sebelum diselesaikan dengan mengambil kira pelbagai aspek tanpa ada yang tercicir. Sidang Wanita juga memberi ruang dan peluang kepada saya untuk belajar tentang dunia politik dari segi pemikiran, percakapan dan perbuatan."
Puan Kaliammal R Santharen
N19 Jawi
Mempunyai Sarjana Perakaunan dari Universiti Sains Malaysia, beliau merupakan seorang akauntan yang pernah bekerja dengan pelbagai syarikat multinasional di Pulau Pinang dan Kedah. Beliau turut menceburkan diri dalam perniagaan dan pelaburan.
Beliau juga suka menyuarakan tentang isu kesihatan diri wanita yang perlu dijaga, mentaliti yang terbuka, keberanian berniaga serta keperluan mempelajari kemahiran boleh membantu wanita untuk berdaya saing.
Beliau berharap lebih ramai wanita melibatkan diri dalam dunia pelaburan dan perniagaan kerana boleh membantu meningkatkan ekonomi keluarga dan diri sendiri sekali gus dapat membantu mereka terutama ketika sangat memerlukan tanpa perlu mengharapkan orang lain untuk perbelanjaan harian. Beliau juga sanggup membantu dan memberi khidmat kepada masyarakat sekeliling selagi termampu.
"Saya adalah seorang introvert dan semasa berada dalam persidangan, saya sedar akan tanggungjawab berat yang harus dilakukan dengan teliti dan penuh yakin. Saya sangat mengalu-alukan program ini kerana ia bermanfaat kepada wanita lain."
Puan Zuraini Mat Zain
N20 Sungai Bakap
Anak jati Pulau Pinang ini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kebun Sireh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Mertajam sebelum melanjutkan pengajian ke universiti. Selain minat membaca, menulis, melancong dan berkebun, beliau gemar melakukan aktiviti kemasyarakatan dan membantu wanita ke arah memperkasakan diri.
Beliau pernah menyertai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tasek Junjung, Women’s Centre for Change (WCC) dan PEKA (Guru Tuisyen Rakyat). Kini beliau memegang jawatan Setiausaha Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Bukit Mertajam dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Machang Bubuk.
Beliau menyuarakan komitmen untuk terus menyumbang bakti sebaik mungkin kepada masyarakat. Menurutnya, wanita perlu sedar bahawa mereka mampu membawa perubahan positif ke arah kesejahteraan negara.
"Sebelum ini, fokus saya hanya menguruskan keluarga. Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) telah menyediakan peluang untuk saya memperkasakan diri. Sekarang, saya lebih berkeyakinan untuk bersuara dan memimpin. Wanita perlu bersatu serta berusaha meneroka potensi diri demi mencapai apa yang dihajati. Saya berpendapat program ini perlu diperluas supaya lebih ramai wanita dapat menyertainya."
Puan Dzullijah Ibrahim
N23 Air Putih
Ibu kepada tiga anak lelaki ini merupakan pemegang Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Sains Malaysia pada 2010.
Beliau juga pernah bekerja di SONY TV, Bangi, Selangor Beliau yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan ini kini menetap di Pulau Pinang sejak tahun 2000.
Beliau merupakan seorang pensyarah dalam bidang Kejuruteraan Pembuatan di UiTM Permatang Pauh.
"Oleh kerana bidang yang saya ceburi ini adalah bidang yang didominasi oleh lelaki, maka saya harapkan agar lebih ramai wanita akan menceburi bidang ini."
Puan Salmah Jaffar
N24 Kebun Bunga
Beliau adalah penerima anugerah Wanita Inspirasi Siyasah 2018 (NGO IKRAM) dan merupakan seorang guru Al-Quran sepenuh masa. Beliau juga penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dari Negeri Pulau Pinang dalam politik.
Menurut beliau, semua pihak perlu cakna serta memperkasakan golongan wanita dari aspek sosial dan kerohanian.
"Persidangan ini amat baik kerana ia memberi peluang kepada wanita untuk bersuara, memberi pandangan, serta memperkasakan wanita. Ia sesuatu yang membanggakan kerana julung kali dilaksana. Program ini membuka mata wanita bahawa wanita juga mempunyai hak dalam sosial, politik dan juga ekonomi. Saya berharap program ini diteruskan pada masa akan datang."
Puan Nur Hasanah Ahmad Akhir
N25 Pulau Tikus
Merupakan graduan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sejak remaja, beliau berminat dalam bidang hak asasi manusia. Kerana minat, beliau memulakan kerjayanya di United Nation University pada 2011 sebelum bekerja di Women’s Centre for Change (WCC) 2013. Beliau dipilih sebagai salah seorang Cleo Hot Shot dalam Kategori Fighter pada 2017.
Sepanjang kerjaya, beliau banyak didedahkan dengan pelbagai pengalaman termasuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat dalam keganasan terhadap wanita bagi mengharungi proses ‘pengadilan’ bermula daripada membuat laporan sehingga perbicaraan di mahkamah.
Beliau banyak menjalankan latihan, ceramah dan program kesedaran dan pencegahan untuk semua peringkat umur. Beliau berharap perjuangan yang dilakukan sedikit sebanyak akan memberi impak kepada golongan muda selain mahu memperkasa golongan wanita muda supaya lebih mengenal potensi diri.
"Sebagai graduan dalam Sains Politik, pengalaman ini sangat berharga kerana mengalami sendiri proses persidangan yang dipelajari di universiti. Ia bukan sahaja memberi peluang untuk bersuara tapi membuktikan jika wanita diberi peluang, mereka boleh berkhidmat dan menunjukkan kebolehan serta potensi yang sebenar."
Puan Dr Wan Nor Hassan
N27 Pengkalan Kota
Berasal daripada keluarga yang besar, beliau merupakan lulusan dalam bidang Perubatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan pernah berkhidmat di Hospital Pulau Pinang, Hospital Butterworth dan Hospital Kangar. Beliau membuka klinik sendiri pada 1993 hingga 2008 sebelum bertugas di USM sehingga pencen pada 2018.
Beliau mula aktif dalam bidang politik setelah menyertai Parti Amanah Negara dari tahun 2015. Beliau kini memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua dan juga menjadi Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Nyior Sebatang.
"Pengalaman saya bertugas sebagai seorang doktor perubatan sangat menguji ketahanan mental dan fizikal. Tugas yang berat dan tidak mengira masa melatih saya untuk tabah, berani dan cekal. Dalam bidang khidmat masyarakat dan politik pengalaman menyantuni mangsa banjir, mangsa ribut, mangsa kebakaran dan lain-lain, mengajar kita betapa masyarakat sangat memerlukan khidmat pemimpin yang berdedikasi dan berintegriti."
Puan Saidatul Nadzirah Saidin
N28 KOMTAR
Mempunyai pelbagai kelulusan termasuk dalam Logistik dan Pengurusan, Pentadbiran Perniagaan dan Pengurusan Perniagaan, beliau kini merupakan seorang Pengurus Syarikat.
Beliau pernah menyuarakan hak berniaga semasa menghadapi pandemik COVID-19 bagi pengusaha perkahwinan dan pengurus acara majlis selain membawa isu wanita.
Beliau mahu membawa suara wanita supaya lebih didengari di samping membantu golongan itu dan kanak-kanak yang memerlukan.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) kerana telah memberi peluang untuk saya terlibat dalam sidang yang sangat bermakna ini. Saya berharap pihak PWDC akan memberi lebih banyak peluang kepada saya untuk membantu wanita dan kanak-kanak."
Puan Kristine Leong Phui Kwan
N30 Sungai Pinang
Beliau adalah pemegang ijazah Sains jurusan Fizik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sarjana dari University of Linconshire, United Kingdom.
Merupakan usahawan dalam bidang penjenamaan dan pengiklanan lebih 10 tahun. Beliau juga pernah bekerja di syarikat multinasional di bahagian pembangunan perniagaan dan bahagian pembelian selama 8 tahun.
Pernah menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) untuk Women Biz SENSE selama 10 tahun selain Setiausaha dan Naib Pengerusi Persatuan Peniaga Wanita Pulau Pinang (PWCC). Kini beliau memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Seri Delima.
Beliau mahu membantu lebih banyak wanita dalam perniagaan selain berharap mereka lebih gigih dan kuat supaya tidak menjadi beban kepada suami dan keluarga. Beliau mahukan kesaksamaan dari segi gender, bangsa dan etnik. Menurut beliau, hatinya sentiasa membara untuk memperjuangkan isu keganasan rumah tangga dan gangguan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) kerana telah memberi peluang untuk saya terlibat dalam sidang yang sangat bermakna ini. Saya berharap pihak PWDC akan memberi lebih banyak peluang kepada saya untuk membantu wanita dan kanak-kanak.
"Saya tiada pengalaman dalam bidang politik. Sidang Wanita 2020 membuka mata dan hati saya bahawa betapa pentingnya penyertaan wanita dalam bidang politik. Saya berasa bertuah kerana dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang. Sidang Wanita harus diadakan setiap tahun bagi mendapat lebih banyak wanita menyertai bidang politik."
Puan Mandy Leow Zhia Hooi
N31 Batu Lancang
Merupakan lulusan ijazah Sains Pembangunan Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau percaya bahawa setiap insan perlu diberikan hak yang sama rata tanpa mengira jantina, bangsa dan warna kulit.
Jelasnya, persekitaran pembangunan kendiri banyak memberi pendedahan, pengalaman dan latihan sebagai wakil rakyat untuk membentuk wanita bagi menjadi pemimpin. Mereka akan berani tampil ke depan untuk menyahut cabaran sebagai seorang pemimpin.
Berpegang kepada prinsip ‘Usaha Tangga Kejayaan’, beliau menyeru golongan wanita untuk bersama-sama mencapai matlamat dan tidak mudah berputus asa jika dihalang oleh ‘glass ceiling effect’ !”
"Sebelum menyertai program Sidang Wanita, saya kurang yakin dengan penggunaan Bahasa Malaysia. Melalui program ini, penguasaan Bahasa Malaysia saya semakin baik selain permahaman tentang proses pilihan raya di Malaysia juga semakin bertambah. Sidang Wanita telah memberi pendedahan tentang cabaran sebagai pemimpin wanita serta usaha yang telah disumbangkan mereka bagi mencapai kejayaan."
Puan Berine Loo Gaik Sim
N32 Seri Delima
Berasal dari Bukit Mertajam, ibu kepada tiga orang anak ini mendapat tempat pertama ketika menyertai pertandingan kecantikan, Mrs. Global United International pada 2015.
Selepas itu, beliau banyak melakukan kerja-kerja amal dan aktiviti melibatkan wanita. Jelasnya, beliau mendapat sokongan penuh daripada suami untuk bergiat aktif dan mengembangkan prestasi diri sekali gus mahu menjadi contoh kepada anak-anak.
Beliau mahu menyampaikan mesej kepada semua wanita bahawa setiap impian boleh dicapai tanpa mengira di mana seseorang itu berada. Baginya, ‘Tiada Yang Mustahil’.
"Melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) saya berpeluang mengenali Sidang Wanita. ‘Wanita mengurus hal ehwal negara’ masih lagi sesuatu yang baharu. Tetapi saya percaya, pendedahan ini mesti bermula daripada keluarga. Banyak manfaat yang diperoleh sepanjang menyertai sidang ini terutamanya menjunjung tinggi konsep ‘Women Power’."
Puan Maimun Banu Mohd Hussin
N33 Air Itam
Merupakan Pegawai Akaun di sebuah firma guaman. Beliau juga Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK). Sepanjang berkhidmat di JPWK, beliau bertemu ramai wanita yang terlibat dalam pergolakan rumah tangga.
Bagi beliau, umur dan status bukan alasan untuk memperjuangkan hak dan identiti diri sebaliknya kecekalan hati dan pemikiran sudah cukup untuk memajukan diri.
Beliau mahu berkhidmat untuk wanita khususnya dalam usaha memberi inspirasi kepada mereka yang berpendidikan rendah supaya memajukan diri.
"Saya bangga dapat menjadi sebahagian daripada peserta Sidang Wanita. Sidang ini mengajar kami supaya tidak teragak-agak untuk menyuarakan pendapat atau mempersoalkan sesuatu perkara jika ada kemusykilan kerana tidak ada betul atau salah ketika bersuara. Lahirnya wanita bukan untuk berundur atau berhenti tetapi untuk melangkah menuju kejayaan. Program ini membantu wanita mengenali diri wanita."
Puan Syahifah Hawa Zamzuri
N35 Batu Uban
Merupakan anak laut yang memulakan kerjaya sebagai nelayan bermula 2010 dan memasarkan sendiri hasil tangkapannya. Wanita ini berazam mahu menjadi usahawan berjaya.
Beliau banyak menceburi program berunsur khidmat komuniti dan perjuangan dalam sektor perikanan. Beliau juga menyertai politik namun berperanan sebagai pasukan barisan belakang.
Selain ingin menjadi usahawan berjaya, beliau mahu menjadi pemimpin wanita yang disukai dan dihormati serta bertindak sebagai tulang belakang kepada keluarga. Beliau mahu wanita terus bangkit tanpa rasa diri didiskriminasi.
Wanita ini juga mahu memperjuangkan kemajuan masyarakat tempatan sekali gus merangsang kemajuan negeri.
"Sebelum berkenalan dengan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan programnya, saya hanya dikenali sebagai nelayan wanita biasa yang memperjuangkan pembangunan wanita dan komuniti setempat. Namun kini, saya lebih aktif, nama juga semakin dikenali malah perjuangan semakin dipermudahkan. Paling penting, bakat dan potensi sebagai pemimpin semakin menyerlah."
Puan Goh Huey Ee
N36 Pantai Jerejak
Meskipun hanya menamatkan pengajian pada peringkat sekolah menengah, beliau menjalankan perniagaan bengkel kenderaan sendiri malah berpengalaman 11 tahun dalam aktiviti Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan membantu individu memerlukan.
Beliau seorang yang suka melibatkan diri dalam perkara yang mencabar diri sendiri dan sentiasa mahu mencari peluang terbaik untuk diri. Beliau mahu membawa isu wanita dan kanak-kanak supaya perjalanan kedua-dua golongan ini lebih hebat dan holistik melalui penubuhan NGO yang akan menjadi perantara dan memperhebat kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, kerajaan dan agensi terlibat.
Ini sekali gus dapat menyelesaikan apa jua masalah khususnya melibatkan golongan wanita, anak-anak dan keluarga. Ketika persidangan, beliau sedang mengandung tujuh bulan. Beliau telah membuktikan kemampuan wanita melaksanakan tanggungjawab dan kehamilan bukan penghalang.
"Sebelum ini saya tidak mempunyai sebarang idea tentang politik, namun Sidang Wanita telah mengubah situasi ini. Saya mula nampak betapa pentingnya kami menyertai politik demi mengangkat kedudukan wanita dalam masyarakat. Program ini harus diteruskan supaya memberi manfaat kepada lebih ramai wanita untuk berkecimpung dalam politik."
Puan Tan Teen Choo
N38 Bayan Lepas
Seorang guru tadika yang menceburi bidang pendidikan sejak tahun 2001 dan merupakan penerima Anugerah Pingat Jasa Kebaktian (PJK) oleh Gabenor Pulau Pinang pada 2019.
Mula aktif dalam politik dan program komuniti sejak 2015. Beliau adalah bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Uban, Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita Cabang Bayan Baru Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli JPWK DUN Batu Uban.
Berharap dapat berkhidmat untuk rakyat, beliau mahu lebih ramai wanita tampil melibatkan diri dalam pembangunan sosial dan politik supaya suara mereka lebih didengar. Beliau juga mahu memperjuangkan isu kesaksamaan gender dan keadilan rakyat, hak-hak wanita dan kanak-kanak.
"Sebelum ini saya banyak aktif dalam program komuniti. Selepas menyertai Sidang Wanita, saya rasa lebih bersemangat malah berjaya mencungkil potensi diri. Program ini sangat membantu kerana berjaya melahirkan bakal-bakal wakil rakyat."
Puan Kang Eu Siah
N39 Pulau Betong
Mempunyai pengalaman membanggakan dalam bidang Insurans dan mencapai sasaran jualan yang ditetapkan.
Bagaimanapun beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa pada 2014. Peluang ini digunakan untuk menguruskan keluarga selain turut membantu anak-anak daripada ‘keluarga tunggal’ dalam bidang pelajaran. Kecenderungannya itu menyebabkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Wanita pertama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Barat Daya.
Beliau berharap dapat meningkatkan bantuan peralatan dan kemahiran untuk membantu ibu tunggal supaya boleh menghasilkan produk sendiri untuk dipasarkan seterusnya dapat mengubah taraf hidup golongan ini.
"Saya tidak pernah terfikir boleh menjadi ‘YB Sehari’. Program ini memperkasakan kemampuan diri selain turut memperbaiki penguasaan Bahasa Malaysia saya. Saya berharap Sidang Wanita dijadikan program tahunan untuk memperkasakan lebih banyak wanita dalam bidang politik."
Puan Siti Fari Hah Zonol
Ketua Pembangkang
N05 Sungai Dua
Beliau mempunyai pelbagai pengalaman dalam bidang kerjaya termasuklah menjadi ‘trainer’ dan Pegawai Sumber Manusia. Beliau juga pernah menjadi Penolong Guru Tabika Perpaduan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Sebagai usaha memudahkan rakan-rakan yang berniaga, beliau kini menyediakan perkhidmatan penghantaran produk atau barangan yang diniagakan kepada pelanggan.
Beliau juga aktif dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) di Kampung Baru Alma, AJK Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Padang Lalang dan kini bertindak sebagai Setiausaha MPKK Kampung Baru Alma.
Jika diberi peluang, beliau mahu memperjuangkan nasib golongan penjaja dan peniaga di pasar tani, pasar malam dan seumpamanya yang terjejas dan kurang terbela ketika krisis Covid-19. Beliau juga mahu menghapuskan sikap rasis dalam pelbagai aspek selain memastikan tiada unsur ‘pilih kasih’ dalam pemerintahan atau perundangan.
"Buat julung kalinya saya menerima penghargaan yang begitu besar dalam hidup saya. Justeru, dengan rasa rendah hati saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi ucapan jutaan terima kasih kepada YB Puan Chong Eng dan semua wakil rakyat serta warga PWDC kerana tanpa semua pihak ini saya tidak mampu belajar membaiki diri sebagai pembimbing yang lebih baik berbanding sebelum ini demi mereka yang memerlukan perkhidmatan saya sebagai Ahli MPKK dan JPWK."
Puan Jamilah Begam Mohamad Nagorgani
N01 Penaga
Pemegang Diploma Perakaunan ini merupakan suri rumah yang turut memiliki teksi dan melakukan kerja sambilan sebagai pemandu pelancong. Beliau kini adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pantai Jerejak.
Mendapat sokongan penuh daripada suami dan 3 anak, beliau sering terlibat dalam aktiviti komuniti dan kesukarelawan termasuk menjadi pemudah cara dan membantu wakil rakyat untuk melakukan aktiviti dan mengagihkan bantuan kepada golongan sasar.
Dalam politik pula, beliau juga terlibat sebagai sukarelawan dan tenaga belakang tabir atau penggerak parti setiap kali ada aktiviti parti atau pada pilihan raya.
Beliau menyifatkan penglibatan wanita sebagai calon pilihan raya atau wakil rakyat menepati asas masalah negara. Ia membolehkan wanita mewakili wanita untuk mengemukakan pandangan dan idea bernas bagi mempertahankan dan menghindarkan urusan kewanitaan dimonopoli.
Beliau juga mahu merancang dan melaksana pelan pembangunan dengan penglibatan komuniti setempat menggunakan pendekatan ‘bottom up approach’ ke arah mewujudkan komuniti yang maju, makmur dan sejahtera.
"Saya amat menghargai peluang dan terpilih sebagai perwakilan Sidang Wanita. Ia memberi aspirasi untuk melibatkan diri dalam politik dan mewarisi kepimpinan yang boleh dijadikan teladan."
Puan Khew Ee Hung
N02 Bertam
Mengkhususkan diri dalam Environmental Geographical Information System (GIS), beliau telah bekerja sebagai Juruteknik GIS dan pensyarah sambilan di Universiti Rakuno Gakuen sejak tahun 2017.
Dengan pengalaman belajar dan bekerja di luar negara, beliau mempunyai pelbagai pengalaman antarabangsa dalam belajar, bekerja, berkoordinasi dan juga mengajar orang asing dari pelbagai negara seperti Jepun, China dan Kepulauan Solomon.
Beliau juga seorang penterjemah bebas, terutamanya melibatkan bahasa Cina ke bahasa Inggeris. Beliau kini menyertai organisasi seperti Junior Chamber International dan Penang Women Chamber of Commerce untuk bertemu, menimba pengalaman dan pengetahuan baharu, terutamanya mengenai perniagaan.
"Saya memang tidak menyesal kerana program ini benar-benar membuka mata saya apabila berpeluang menjalani kehidupan dan berperanan sebagai wakil rakyat. Sebenarnya, saya sangat terharu dan terinspirasi dengan ramai peserta dan penganjur program ini. Saya juga bangga kerana Pulau Pinang mempunyai ahli politik hebat yang berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat. Terima kasih!"
Puan Noor Zamzuraida Noordin
N04 Permatang Berangan
Beliau mempunyai kelulusan dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Kolej Wawasan Putra SEMEO-RESCAM.
Beliau bergiat aktif dalam Briged Wanita, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Koperasi. Beliau kini merupakan Timbalan Ketua Wanita Keadilan Negeri Pulau Pinang dan SUP Cabang Balik Pulau.
Beliau menyifatkan penglibatannya dalam politik dapat membantu semua pihak termasuk wanita supaya berani tampil ke hadapan bagi mengupayakan bakat kepimpinan.
Beliau mahu memperjuangkan ideologi yang bersifat mesra dan berkebajikan. Jika diangkat sebagai Wanita Terbaik Pulau Pinang, beliau mahu menyuarakan reformasi dalam semua aspek untuk memastikan keadilan buat semua.
"Platform Sidang Wanita memberi saya peluang menjadi ‘YB Sehari’. Mengupayakan kepimpinan, menjadi contoh kepada wanita dalam komuniti. Saya begitu berbangga dapat menjadi salah seorang daripada 40 yang telah dipilih. Program terbaik ini perlu dilaksanakan secara tahunan pada setiap kali berakhir Sidang DUN sebenar."
Puan Che Farah Che Roslan
N21 Sungai Acheh
Mempunyai Sijil Kemahiran Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK), beliau merupakan seorang Eksekutif Pasaraya MAKRO TESCO & GIANT.
Beliau aktif dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO) Muafakat Rakyat Pulau Pinang, Penyelaras Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Parlimen Bayan Baru dan Ahli Lembaga Kesihatan Hospital Pulau Pinang pada 2020.
Beliau berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) manakala dalam politik, beliau merupakan Ketua Srikandi Bayan Baru dan Timbalan Srikandi Pulau Pinang pada 2020.
Beliau berharap agar dapat membantu semua wanita, warga emas serta keluarga yang memerlukan bantuan dari segi makanan dan kewangan bagi meringankan beban mereka. Ia sekali gus dapat memastikan mereka menerima manfaat keperluan asas.
"Sidang Wanita membuatkan saya lebih semangat untuk terus memberi bantuan kepada wanita di luar sana. Ramai wanita yang masih mencari saluran agar mereka dapat bantuan serta mengikuti program-program wanita. Dengan adanya Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), masa depan wanita di luar sana lebih cerah dan terbela"
Puan Marina Mohd Noor
N40 Telok Bahang
Pemegang ijazah Komunikasi dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini berpengalaman 18 tahun dalam bidang Perniagaan dengan mengurus syarikat sendiri, Mutiara Saga Enterprise.
Beliau merupakan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Beliau mula menceburi politik dengan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan dipilih menyertai Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Kawasan Ahli Dewan Undang Negeri (KADUN) Pulau Betong.
Berharap untuk terus bersemangat dalam berkhidmat kepada JPWK, beliau mahu menjadi pendorong untuk bersama-sama JPWK dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di KADUN Pulau Betong menyantuni, merealisasikan dan melestarikan agenda untuk pembangunan wanita setempat.
"Sebelum menyertai program ini, saya hanya memfokuskan pada kehidupan saya semata-mata. Selepas menyertai program ini, saya lebih mengambil peduli hal-hal sekeliling, bergaul sesama Ahli JPWK, MPKK dan prihatin akan hal masyarakat setempat. Oleh kerana saya terpilih menjadi YB Teluk Bahang, saya memilih menyuarakan isu nelayan kerana mereka terdiri daripada seribu lebih ahli persatuan termasuk kaum wanita, yang pada hemat saya adalah satu jumlah yang besar dan berbaloi untuk saya bahaskan."