INISIATIF KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
Merujuk kepada Laporan Jurang Gender Global 2024 yang dikeluarkan oleh World Economic Forum, Malaysia berada pada tangga ke-114 daripada 146 negara, dengan mencatat skor 0.668 berbanding skor saksama 1.0. Ini meletakkan Malaysia antara 30 peratus negara terbawah di mata dunia. Amat menyedihkan kerana Malaysia berada di kedudukan rendah berbanding negara jiran serantau seperti Singapura, Thailand dan Indonesia. Maka kita perlu berusaha lebih giat lagi untuk merapatkan jurang-jurang gender terutama dalam domain ekonomi (0.634) dan politik (0.068).
Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 tahun 2018 lalu, telah beri harapan baharu apabila YB Dato' Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Walau bagaimanapun, pencapaian wanita dalam politik arus perdana negara kita belum menampakkan dimensi baharu dan ini dapat dilihat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini, hanya 32 Ahli Parlimen wanita berjaya menangi kerusi masing-masing. Dilema ini kian mengecil peratusannya dengan hanya 14.4 peratus wakil rakyat wanita di Dewan Rakyat berbanding 14.86 peratus pada PRU-14.
Jika ditinjau Statistik Pemerkasaan Wanita Dalam Domain Terpilih, Malaysia 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat Jurang Gender yang ketara dalam domain Peluang dan Penyertaan Ekonomi dengan skor 0.644 dan Penguasaan Politik dengan skor 0.102 (Skor kesaksamaan antara wanita dan lelaki adalah nilai 1.0).
Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Dasar Keterangkuman Gender menetapkan bahawa Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan Ahli Lembaga Pengarah Anak Syarikat Kerajaan Negeri mestilah terdiri sekurang-kurangnya 30% wanita. Walaupun begitu, berikut adalah kenyataan masa kini:
1. Ahli Dewan Undangan Negeri 10% (Wanita 4 dari 40)
2. Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang 13 %(Wanita 3 daripada 24)
3. Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai 24% (Wanita 6 daripada 24)
4. Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) – hanya 8% wanita dilantik sebagai Pengerusi
Data menunjukkan tiada yang mencapai sekurang-kurangnya 30% walaupun polisi kerajaan menetapkan sedemikian. Berkaitan penyertaan wanita dalam komuniti di peringkat pembuat keputusan, Pulau Pinang mempunyai dasar yang menetapkan 30% Ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) adalah wanita. Walaupun angka ini hampir dicapai, namun hanya terdapat 8% daripada 375 Pengerusi MPKK adalah wanita. Satu strategi untuk meningkatkan bilangan kepimpinan wanita dalam peringkat pembuat keputusan adalah dengan membina kapasiti kepemimpinan terutamanya ahli-ahli wanita yang aktif dalam kerja komuniti.
Program-program pembangunan dan pemerkasaan wanita perlu diperbanyakkan untuk meningkatkan kapasiti wanita sebagai persediaan tambahan untuk mengisi dan memenuhi keperluan dasar yang menjurus kepada kesaksamaan gender. Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) komited dalam menyokong usaha-usaha ke arah mengarusperdanakan gender di Pulau Pinang. Hala tuju ini juga bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), iaitu Matlamat 5: Mencapai Kesaksamaan Gender dan Pemerkasaan Wanita oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
AGENSI PERLAKSANA
Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang mengarusperdanakan gender ke dalam polisi-polisi utama, program-program dan amalan-amalan sektor awam demi mentransformasikan struktur-struktur dan budaya berkaitan, melalui advokasi, pembangunan kapasiti dan kerjasama strategik dengan sektor-sektor berlainan dalam masyarakat. Matlamat untuk mencapai kesaksamaan gender dan keadilan sosial.
Tahun 2024 merupakan tahun ke-5 penganjuran Sidang Wanita Pulau Pinang, PWDC akan terus memacu perubahan dengan menambah baik tatacara perlaksanaan serta format pernganjuran agar penyampaian akan lebih berkesan. Setiap tahun, Jawatankuasa Petugas Sidang Wanita Pulau Pinang akan dilantik untuk menyemak dan memperhalusi pengisian dan perjalanan program.