Puan Koay Gaik Kee
Ketua Menteri
N26 Padang Kota
EXCO Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi
Puan Koay adalah seorang yang aktif dalam membantu orang ramai menyelesaikan masalah dan isu semasa khususnya berkaitan dengan alam sekitar dan kebajikan. Di samping itu, beliau akan mengenal pasti isu penting termasuk isu wanita dan OKU agar dapat ditangani dengan adil dan saksama.
Dalam bidang politik pula, beliau menyertai parti DAP sejak tahun 2011 serta memegang jawatan sebagai Setiausaha Organisasi DAP Wanita Pulau Pinang sejak tahun 2019. Beliau turut menjawat jawatan sebagai Setiausaha Cawangan DAP Barrack Road, Setiausaha DAP Wanita Bahagian Bukit Bendera dan Bendahari Pemuda Sosialis DAP Bahagian Bukit Bendera.
Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia dari UNIMAS. Sejak tamat pengajian, beliau telah berkhidmat sebagai Pegawai Khas YB Phee Boon Poh.
"Saya bersyukur diberi peluang menyandang jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dalam Sidang Wanita Pulau Pinang 2021. Platform ini telah meningkatkan keyakinan saya dari segi pengucapan awam, bekerjasama dengan semua perwakilan dan bekerja keras menyediakan maklumat untuk memastikan semua yang dibentangkan bernas. Saya juga dapat merasai semangat yang kuat sebagai seorang wakil rakyat apabila memperjuangkan isu penting di dalam dewan."
Puan Jamaliah Jamil @ Kinsoi
Timbalan Ketua Menteri 1
N03 Pinang Tunggal
Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti
Puan Jamaliah merupakan seorang sukarelawan yang aktif membantu pembangunan komuniti di negeri kelahirannya, Sabah. Beliau mengadakan program motivasi dan kelas bahasa Inggeris kepada pelajar luar bandar, program khidmat masyarakat rumah kebajikan yang berpusat di Tambunan, Ranau dan Tawau selain terlibat dalam penyediaan modul-modul pembelajaran kendiri murid.
Menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 semasa Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 memberi kelebihan kepadanya untuk mengetengahkan pengalaman menjalankan aktiviti kemasyarakatan. Kini, beliau melanjutkan pengajian peringkat Sarjana
"Sidang Wanita telah memberi impak yang positif kepada saya sebagai wanita dan ibu. Platform ini berkesan untuk melatih saya menyuarakan isu, pandangan dan suara wanita luar bandar. Sidang Wanita perlu dilaksanakan di negeri-negeri lain agar hasrat untuk menambah jumlah wanita dalam tadbir urus negara sebanyak 30% tercapai secepat mungkin."
Puan Sangeetha Animolom
Timbalan Ketua Menteri 2
N16 Perai
Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains & Teknologi
Beliau merupakan seorang yang aktif dalam Kelab Pengucapan Awam, jadi, tidak hairanlah Puan Sangeetha dapat mengutarakan hujah-hujah yang kritis ketika berdebat. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Musa dari USM dalam bidang Sains Politik. Kini, beliau menabur bakti sebagai seorang pensyarah di sebuah kolej di Pulau Pinang. Puan Sangeetha juga sering menerima jemputan sebagai pengacara program.
Menurutnya "Kita sendiri yang menentukan apa yang boleh, perlu dan akan dilakukan dan tidak ada kompromi dalam hal itu.”
"Sidang Wanita merupakan platform yang berfaedah bagi mereka yang ingin berkecimpung dan bergiat secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. Platform ini mendedahkan senario politik sebenar dalam negeri serta memberi peluang kepada wanitadari pelbagai lapisan masyarakat untuk mengutarakan pendapat."
Puan Miriam Devaprasana Charles Samuel
EXCO
N15 Padang Lalang
Pembangunan Sosial Dan Hal Ehwal Bukan Islam
Beliau merupakan seorang rakyat Malaysia yang mengimpikan Malaysia yang saksama dan mahu menjadi sebahagian daripada rakyat yang menikmati gelombang perubahan tersebut. Beliau seorang yang kreatif dan gemar menulis tentang pengalamannya di mana-mana sahaja beliau berada.
Dalam bidang pendidikan pula, beliau merupakan pelajar Kemanusiaan dan Seni dari USM dan Universiti Lancaster dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan. Beliau kini melanjutkan pengajian di peringkat PhD di USM, pengkhususan dalam Sosiolinguistik Bandar.
"Melalui Sidang Wanita saya belajar banyak perkara tentang penggubalan dasar dan undang-undang Malaysia terutamanya dalam menyediakan usul dan jawapan. Sidang Wanita memberi gambaran tentang dunia politik dan kepentingan mempunyai pemimpin yang berilmu dan berdisiplin. Saya memperoleh banyak pengalaman dan berasa bangga menjadi salah seorang peserta Sidang Wanita."
Puan Ragini Gunasekaran
EXCO
N29 Datok Keramat
Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa
Merupakan anak kelahiran Pulau Pinang yang aktif dengan aktiviti kesukarelawanan seperti ‘A Soup Kitchen in Kuala Lumpur’ dan ‘Need to Feed The Need’ yang membantu golongan gelandangan.
Puan Ragini amat cenderung dengan aktiviti pemerkasaan wanita dan sentiasa ingin meningkatkan kesedaran betapa pentingnya wanita berdikari dan mampu membuat keputusan untuk diri sendiri.
Puan Ragini mempunyai pengalaman bekerja selama 10 tahun sebagai Senior Manager Customer Success di Microsoft dan mempunyai kelulusan Diploma Fisioterapi dan Bachelors of Business in Sales & Marketing.
"Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 adalah titik perubahan hidup saya yang mana ia adalah satu langkah pertama ke arah politik. Saya sentiasa ragu-ragu jika itu yang saya takdirkan tetapi Sidang Wanita memberi saya visi yang jelas bahawa itulah yang saya inginkan selama ini."
Puan Lee Yew Mei
EXCO
N07 Sungai Puyu
Alam Sekitar Dan Kebajikan
Beliau merupakan seorang wanita yang aktif sebagai penulis majalah dan kaunselor awam serta menyandang jawatan sebagai pengarah di sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Beliau menyifatkan penyertaan dalam politik menyebabkan cara berfikirnya mula berubah. Beliau mengakui bahawa wanita perlu bersuara dan melangkah keluar untuk melakukan perubahan.
Puan Lee berkelulusan Diploma dalam Pengurusan Sumber Manusia dan kini sedang melanjutkan pengajian ijazah dalam bidang Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua di Wawasan Open University.
"Sidang Wanita membantu mengatasi ketakutan saya dalam pengucapan awam dan meningkatkan keyakinan saya untuk bercakap dalam Bahasa Malaysia. Pengalaman sebagai peserta telah memberi pengetahuan baharu berkenaan isu-isu semasa, perkembangan dan cabaran yang sedang dilalui oleh Negeri Pulau Pinang. Rakyat Pulau Pinang amat bertuah kerana mempunyai platform khusus kepada wanita untuk memupuk bakat terpendam dalam bidang politik dan kepimpinan."
Puan Rabikha Hasni Suparman
EXCO
N22 Tanjong Bunga
Infrastruktur & Pengangkutan
Beliau merupakan seorang yang aktif dalam menganjur dan mengurus aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan sekitar Pulau Pinang dan juga di negeri-negeri lain. Objektif beliau adalah untuk membantu meringankan beban golongan kanak-kanak, wanita, warga emas dan OKU.
Beliau berkelulusan Sarjana Pentadbiran Awam dari USM dan Ijazah Sarjana Muda Sastera dari UPM. Beliau mempunyai pengalaman mengajar di IPT hampir 18 tahun. Selain itu, beliau juga telah dilantik sebagai Panel Penilai bagi Kursus Hubungan Etnik dan Pengajian Malaysia di peringkat KPT.
Beliau berhasrat untuk memperjuangkan kesejahteraan keluarga dan juga jalinan perpaduan antara kaum dengan mempertingkatkan aktiviti pemupukan keharmonian etnik.
"Sebelum menyertai Sidang Wanita, saya lebih tertumpu kepada isu pendidikan. Sidang Wanita secara tidak langsung telah membuka minda saya. Saya diberi portfolio yang mencabar dan di luar kepakaran saya, iaitu Portfolio Infrastruktur dan Pengangkutan. Kini, saya memperakui kepentingan infrastruktur dan pengangkutan dalam pembangunan sesebuah negeri dapat meningkatkan taraf hidup dan produktiviti rakyat. Menyertai Sidang Wanita merupakan pengalaman yang berharga buat saya!"
Puan Zyen Faiezane Dullie Marie
EXCO
N37 Batu Maung
Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan
Beliau mula berjinak dengan arena politik kerana bapanya serta minatnya yang cenderung ke arah isu-isu pembangunan anak muda dan wanita.
Selain aktif dalam sukan beliau juga sering melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan seperti mengajar Bahasa Inggeris kepada kanak-kanak dan Youth Care Malaysia, sebuah NGO kebangsaan yang mementingkan pembangunan belia.
Aspirasi beliau adalah untuk aktif dalam melakukan advokasi. Beliau kini berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada Ahli MMK Pulau Pinang dan merupakan graduan jurusan Sains Sosial dari Northumbria University Newcastle dan Sarjana dari USM.
"Saya mempunyai keraguan dengan kebolehan diri tetapi dengan galakan rakan dan profesionalisme pihak penganjur saya dapat mengharunginya. Saya yakin bahawa Sidang Wanita ini merupakan platform yang sesuai bagi golongan wanita untuk menggilap bakat dalam politik. Saya kagum melihat ramai wanita yang berkebolehan dan intelektual menyertai Sidang Wanita. Saya bersyukur kerana mendapat pengalaman baharu dan pengalaman ini akan menjadi satu galakan bagi saya untuk melakukan lebih banyak aktiviti advokasi."
Puan Khor Kar Tien
EXCO
N34 Paya Terubong
Pelancongan dan Ekonomi Kreatif
Beliau merupakan seorang yang aktif dalam pelbagai NGO dan menjadi pengasas dan Pengerusi Persatuan-Orkestra Zero Pulau Pinang sejak tahun 2009. Dalam bidang kepimpinan, Puan Khor memegang jawatan sebagai Pengerusi JPWK Sungai Pinang, Naib Pengerusi JCI Pearl bagi portfolio Komuniti dan Antarabangsa dan juga ahli CDERT dan APM.
Penyertaannya dalam Sidang Wanita adalah cabaran kali pertama menyertai bidang politik dan beliau telah diberi tanggungjawab sebagai EXCO.
Melalui program ini, beliau telah nampak kepentingan wanita menyertai politik untuk bersuara demi wanita lain dalam masyarakat. Baginya, Sidang Wanita merupakan satu platform yang baik untuk memahami peranan dan tanggungjawab seorang wakil rakyat.
"Peluang ini bukan selalu kita ada, oleh itu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua wakil rakyat dan pihak PWDC kerana telah berjaya menganjurkan program yang begitu bermanfaat untuk golongan wanita. Program ini mampu mencungkil bakat wanita dalam bidang politik. Siapa sangka akan ada peserta Sidang Wanita yang menjadi wakil rakyat pada masa hadapan."
Puan Nur Adlina Syazwanie Abdul Latiff
EXCO
N08 Bagan Jermal
Belia dan Sukan
Beliau merupakan seorang pelajar yang aktif menyertai pelbagai program dan aktiviti kesukarelawanan serta memegang jawatan Presiden bagi Kelab Debat dan Pidato dan Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Diploma Sains UiTM Arau, Perlis.
Bakat kepimpinan beliau terserlah apabila sering mengetengahkan isu kebajikan mahasiswa dan mahasiswi. Beliau juga lantang menyuarakan pendapat dan cadangan bagi menangani isu-isu berkaitan dengan mahasiswa dan mahasiswi di dalam dan di luar kampus.
Mahasiswa tahun akhir Diploma Sains ini turut menyandang jawatan sebagai Setiausaha Mahasiswa Roket, iaitu sayap mahasiswa bagi Parti DAP dan menjadi peserta Parlimen Digital 2020 mewakili kawasan P041 Kepala Batas.
"Pengalaman dapat menjejakkan kaki di DUN merupakan satu pencapaian bermakna bagi perjalanan karier politik saya sekali gus mengasah bakat kepimpinan. Menjadi seorang ADUN dan EXCO bukanlah perkara yang mudah. Saya perlu membuat kajian, mendapatkan data-data yang sahih dan merancang program yang dapat memberikan impak positif kepada rakyat. Saya harap lebih ramai wanita menyertai Sidang Wanita pada masa akan datang."
Puan Hannah Zaihal Hazri
EXCO
N12 Penanti
Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar
Bandar & Kesihatan
Beliau merupakan seorang pelajar universiti yang aktif menceburi pelbagai bidang seperti keusahawanan, kepimpinan dan kesukarelawanan. Program yang berimpak tinggi yang disertai oleh Hannah ialah Social Entrepreneurship @ Higher Education yang memberi manfaat kepada 20 mahasiswa OKU dalam bidang keusahawanan dan Social Entrepreneurship @ Urban Community yang membantu 10 usahawan wanita B40.
Pencapaian beliau yang membanggakan ialah Ikon Putra Kepimpinan Keusahawanan, Tokoh Siswa KPT, Top 50 Student KOLs Awards dan Top 50 Malaysian Young Talents Awards 2020. Beliau merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda tahun 3 di UPM dalam bidang Sains Biokimia.
"Saya baru sahaja menceburkan diri dalam arena politik kerana saya percaya politik adalah suatu bidang yang amat penting dan menyeluruh dalam kehidupan."
Puan Amy Sue-Shi Leong
N06 Telok Ayer Tawar
Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari USM dan mempunyai pengalaman hampir 20 tahun dalam industri kesihatan dan penjagaan warga emas. Beliau memegang jawatan Pengerusi MPKK Kampung Sireh Kebun Nyior, Pulau Tikus sejak tahun 2021.
"Sidang Wanita memberi pengalaman secara hands-on kepada peserta yang tidak mempunyai pengalaman dalam politik. Peserta perlu berbahas berkenaan dasar dan isu-isu penting. Melalui pengalaman yang diperoleh, saya boleh menyumbang dalam politik demi pembangunan komuniti."
Puan Shameera Nasreen Ahamed Noordeen
N09 Bagan Dalam
Puan Shameera merupakan mahasiswi yang aktif menyertai pelbagai platform untuk menyerlahkan semangat kepimpinannya. Ini terbukti apabila beliau juga menyertai Parlimen Wanita Muda, mewakili P045 Bukit Mertajam. Beliau mengutarakan isu keganasan rumah tangga sebagai isu utama.
Mahasiswi Ijazah Sarjana Muda tahun 3 di UMK ini sedang menuntut dalam bidang Sains Sumber Asli (Sains Gunaan). Merupakan seorang yang bergiat aktif dalam bidang pengucapan awam serta merupakan mantan Timbalan Setiausaha Majlis Perwakilan Pelajar.
"Sidang Wanita telah mengajar saya bidang kuasa dan tanggungjawab seorang ADUN. Platform seperti ini perlu diteruskan lagi untuk memperkasakan kaum wanita dalam pelbagai bidang terutamanya bidang politik."
Puan Nur Aishah Zainol
N11 Permatang Pasir
Beliau merupakan mahasiswi yang bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelawanan sejak zaman universiti dengan menjayakan program misi kemanusiaan ke Banda Acheh dan Kemboja. Beliau juga terlibat dalam mewujudkan proses pembelajaran antara USAS dan State Islamic University Ar-Raniry.
Beliau kini memegang jawatan sebagai Pegawai Seranta serta telah berkecimpung dalam bidang keusahawanan sejak 6 tahun yang lalu dengan menubuhkan Muda Surprise.
Beliau merupakan seorang pelajar lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Gunaan di USAS dan kini pelajar tahun 2 Sarjana Muda Undang-Undang di UIA.
"Percayalah pada slogan ‘Women Power’ wanita mampu menggoncang dunia. Dengan program sebegini mampu membuka mata dan peluang untuk mendengar suara wanita-wanita hebat dan memikul tanggungjawab besar dalam DUN walaupun tempoh 1 hari."
Puan Lee Siew Wan
N13 Berapit
Beliau merupakan seorang sukarelawan yang aktif dalam NGO dalam memberi sokongan emosi kepada individu yang mengalami tekanan mental.
Beliau merupakan graduan Kejuruteraan Kimia dan Proses dari UKM yang mempunyai pengalaman bekerja selama 20 tahun, khususnya dalam bidang Kejuruteraan Teknologi Alam Sekitar untuk sektor perindustrian.
Penglibatan saya sebagai wakil dalam Sidang Wanita telah memberi pengetahuan baharu terutama dalam hal-hal berkaitan kesaksamaan gender, sistem perundangan, penggubalan polisi dan sesi DUN. Sidang Wanita merupakan satu program yang efektif untuk mencungkil bakat wanita menceburi bidang politik. Program ini menawarkan satu platform untuk golongan wanita melatih diri agar dapat melayakkan diri menjadi wakil rakyat.
Puan Che Maziah Hamid
N14 Machang Bubok
Beliau merupakan anak jati Pulau Pinang yang berasal dari Gelugor. Puan Che Maziah banyak melibatkan diri dalam organisasi Pertubuhan Kebajikan Annur yang aktif membantu keluarga asnaf serta daif.
Beliau sering mendekati golongan ini dengan lebih rapat untuk mendengar masalah serta meringankan beban keluarga asnaf. Di samping itu, beliau juga terlibat dalam memberi sumbangan atau penganjuran aktiviti amal.
Puan Che Maziah pernah bekerja di sektor perkilangan selama 21 tahun sebelum menceburi bidang perniagaan. Beliau merupakan seorang wanita yang berdikari dan mempunyai syarikat pelancongan sendiri iaitu Almaziah Mobility Travel and Tours. Dalam bidang pendidikan, beliau mempunyai kelulusan dalam Pentadbiran Perniagaan dari OUM.
"Sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk menjadi ahli politik tetapi sifat ingin tahu telah membawa saya ke Sidang Wanita. Platform ini banyak mengajar saya untuk menyuarakan pendapat tentang sesuatu perkara jika ada kemusykilan kerana tidak ada betul atau salah ketika bersuara."
Puan Siti Nur Syahirah Ahmad Shahril Sham
N17 Bukit Tengah
Beliau merupakan sukarelawan yang aktif dalam program pembangunan komuniti sehingga pernah terpilih mewakili Malaysia sebagai sukarelawan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi ke Green Summer Volunteer Campaign, Vietnam pada 2019.
Beliau juga terpilih sebagai delegasi Asian Cooperative Programme (Malaysia, Japan, Indonesia) bagi membincangkan isu pengurusan COVID-19 di setiap negara.
Puan Siti Nur adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama Pengurusan Kerja Sosial, dari UUM dan kini berkhidmat sebagai Pegawai Program Bahagian Keterangkuman Gender, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang.
"Inisiatif perlaksanaan Sidang Wanita telah membuka peluang kepada wanita untuk menunjukkan bakat dan keupayaan dalam bidang kepimpinan. Platform ini telah memberi peluang kepada saya untuk berbahas tentang isu wanita khususnya dalam kepimpinan dan politik di Pulau Pinang. Saya berharap Sidang Wanita dapat diteruskan khususnya kepada graduan dan anak muda yang masih mencari jalan yang sesuai untuk masa depan."
Puan Jayanti Kandayah
N18 Bukit Tambun
Beliau merupakan salah seorang pengasas Peace Children Care Centre iaitu sebuah rumah perlindungan bagi kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Beliau seorang yang bersemangat dan komited untuk berkhidmat kepada masyarakat dan mula bergiat dalam kerja sukarelawan sejak 2016.
Beliau kini memegang jawatan sebagai EXCO Persatuan Kebajikan Asas Pulau Pinang dan Penolong Setiausaha Kehormat bagi PG Care Society.
Pemegang Ijazah Sarjana Sumber Manusia ini mempunyai pengalaman bekerja di syarikat MNC selama 25 tahun. Beliau juga aktif dalam sukan dan pernah mewakili Malaysia dalam sukan hoki. Selain itu, beliau juga bekas ahli Angkatan Tentera Laut Simpanan.
"Saya bersyukur kerana terpilih dan diberi peluang untuk menyertai Sidang Wanita. Pengalaman yang amat saya hargai kerana berpeluang untuk membentangkan isu-isu rakyat di DUN. Saya juga berpeluang bertemu dengan wanita-wanita lain yang berbakat serta pemimpin yang berkhidmat demi kepentingan masyarakat. Sememangnya sebuah memori yang akan saya hargai."
Puan Geetha V Balakrishnan
N19 Jawi
Puan Geetha merupakan seorang ibu kepada 4 orang cahaya mata. Beliau telah menceburi bidang perniagaan selama 23 tahun dan mempunyai motivasi yang tinggi dalam setiap perkara yang dilakukan. Beliau suka akan cabaran dan mencari penyelesaian kepada apa jua perkara dalam kehidupan seharian.
"Wanita perlu tabah dan gigih dalam apa jua masalah yang dihadapi dan terus cekal mengharunginya."
Puan Dr. S. Thanam Subramaniam
N20 Sungai Bakap
Beliau berpengalaman dalam membantu komuniti setempat terutamanya dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka. Beliau juga memegang jawatan sebagai Setiausaha Taman Sri Rambai 2, 3 dan 4 selama 3 tahun. Selain itu, beliau pernah terlibat dalam mempromosikan platform digital bersama Digital Penang dalam usaha untuk memastikan seluruh rakyat Pulau Pinang menggunakan platform digital.
Beliau merupakan pemegang PhD dalam Perancangan Bandar dan Wilayah dari USM. Beliau pernah berpengalaman sebagai Penyelidik Sosial dan sebagai pensyarah di beberapa buah kolej dan universiti. Kini beliau bekerja sebagai Pegawai Seranta YB Puan Chong Eng.
"Sebuah pengalaman yang unik kerana saya berpeluang untuk menjalankan kajian tentang kawasan perwakilan yang telah diberikan. Saya perlu mengenal pasti isu -isu yang dihadapi di kawasan tersebut dan berbincang bersama dengan ADUN sebenar. Melalui platform ini saya memberanikan diri untuk membuat pembentangan hujah - hujah yang berkaitan isu yang telah dikaji."
Puan Nor Faridah Sariff
N23 Air Putih
Usahawan wanita ini menjalankan perniagaan rempah di bawah jenama Shiffa di Pulau Pinang. Beliau bercita cita untuk membina empayar perniagaan yang lebih besar supaya dapat mencipta peluang pekerjaan kepada semua ibu tunggal di Pulau Pinang.
Dalam aktiviti kemasyarakatan pula, beliau merupakan seorang yang aktif dalam persatuan dan merupakan Ketua Usahanita Cawangan Barat Daya. Beliau telah banyak membantu ramai usahawan muda untuk mendapatkan bantuan dan geran daripada pelbagai agensi kerajaan.
Puan Nor Faridah merupakan seorang lulusan Ijazah Sarjana Muda dari USM.
"Pengalaman dalam Sidang Wanita sangat berharga yang tidak akan diperoleh di tempat lain. Saya bersyukur kepada Allah kerana terpilih dalam sidang kali ini. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada PWDC kerana memberi ruang dan peluang untuk saya bersama rakan-rakan untuk menimba ilmu dan pengalaman."
Puan Cheoh Mooi Kim
N24 Kebun Bunga
Beliau merupakan seorang usahawan yang memegang pelbagai jawatan dalam syarikat pengurusan projek, produksi kreatif dan media pendidikan. Beliau berpengalaman bekerja dan belajar di luar negara dalam jawatan pengurusan. Beliau sentiasa mengikuti kursus-kursus untuk meningkatkan diri dari masa ke masa dari pelbagai bidang untuk meningkatkan potensi diri.
Selaku jawatankuasa dan sukarelawan di beberapa buah NGO, beliau giat dalam membantu ahli-ahli NGO dengan berkongsi ilmu dan kepakarannya. Perjuangan beliau ialah memupuk imej positif dan pemikiran wanita sebagai pembina negara dan bukannya objek seksual yang dieksploitasi oleh perkembangan dunia.
Perubahan dan perkembangan negara seharusnya bermula daripada suara wakil rakyat yang berperanan dalam menggubal polisi untuk kesaksamaan dan kesejahteraan rakyat terutamanya wanita.
“Wanita gembira, keluarga bahagia, masyarakat makmur, negara gemilang”.
PPuan Dr Lalitha Ramasamy
N25 Pulau Tikus
Beliau merupakan seorang sukarelawan yang sentiasa terlibat aktif dalam aktiviti yang melibatkan pemerkasaan wanita. Hal ini termasuklah sebagai aktivis yang memperjuangkan hak asasi wanita dan menentang keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.
Beliau banyak melakukan advokasi dan ceramah kesedaran berkenaan keganasan rumah tangga dan keterangkuman gender. Beliau merupakan “First Support Point” dan juga ahli Skuad Waja dalam mencegah keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.
Beliau merupakan pemegang PhD dalam bidang Perniagaan (Pemerkasaan Wanita Dalam Perniagaan). Beliau berpengalaman mengajar Pengurusan Perniagaan di universiti swasta selama 20 tahun.
Sebelum menyertai Sidang Wanita saya tidak begitu berminat menceburi politik. Setelah menyertai dan mengikuti setiap fasa dalam Sidang Wanita, persepsi saya terhadap dunia politik telah berubah sama sekali. Saya mula mengenali potensi diri saya. Saya sedar masa depan terletak dalam tangan pemimpin politik yang menyedari bahawa kepentingan awam adalah lebih besar daripada segalanya.
Puan Annsley Dashawna Stephen
N27 Pengkalan Kota
Beliau seorang yang aktif menyertai pelbagai platform untuk menonjolkan bakat kepimpinannya termasuklah menyertai Parlimen Wanita Muda. Di samping itu, beliau juga sukarelawan Jawatankuasa Unit Perhubungan Awam untuk Dewan Belia India Malaysia serta AJK Sanitary Bank Malaysia.
Beliau berpegang kepada prinsip “menyayangi setiap orang sebagaimana Tuhan menyayangi kita”, beliau berharap lebih ramai lagi wanita tampil berani bersuara dan perjuangan mereka terus diperkasakan. Annsley merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan dengan kepujian dari MSU.
"Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 telah memberi pendedahan yang membantu saya memahami arena politik dengan mendalam. Wakil-wakil rakyat juga sangat supportive dengan memberi sokongan yang padu kepada para peserta. Persidangan ini memberi pengalaman yang menyeluruh kepada saya kerana perlu menyediakan hujah dan usul seperti seorang wakil rakyat sebenar."
Puan Nur Amelia Osman
N28 KOMTAR
Beliau pernah menyandang sebagai Ketua Juruaudit Dalaman dan menamatkan kerjayanya pada usia 33 tahun untuk memberi tumpuan penuh dalam aktiviti kemasyarakatan, keluarga serta perniagaan.
Beliau aktif membantu mangsa-mangsa keganasan rumah tangga dengan menyertai beberapa badan NGO untuk menghulurkan bantuan. Puan Nur Amelia merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Undang-Undang Perburuhan dari UNIMAS.
"Sekiranya diberi peluang saya ingin memperjuangkan nasib wanita yang tercicir dan diabaikan. Saya mahu membantu wanita mendapatkan sokongan kewangan dan diberi jalan keluar daripada masalah hidup kerana saya menyifatkan wanita adalah tunjang kepada pembentukan keluarga bahagia."
Puan Fazilah Harun
N30 Sungai Pinang
Mahasiswi ini merupakan seorang yang aktif sewaktu zaman belajar dengan menyertai pelbagai program di peringkat universiti dan kebangsaan serta program-program kesukarelawanan. Beliau pernah mewakili universiti untuk program kolokium di Hiroshima University, Japan dan Shiah Kuala Universiti, Indonesia.
Beliau juga terlibat dengan program-program yang membantu meningkatkan pendapatan komuniti khususnya di Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Oleh sebab itu, keinginan untuk tampil ke hadapan mewakili suara masyarakat amat kuat khususnya para wanita yang kurang menerima manfaat daripada pembangunan negara.
Merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Sejarah dan Dasar & Pentadbiran Awam dari USM dan kini berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir di Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat, USM.
"Sidang Wanita membantu wanita yang berhasrat untuk terlibat dalam bidang politik kerana mereka akan didedahkan dengan selok-belok dunia politik. Saya yakin dan percaya program ini telah membuka mata masyarakat bahawa pentingnya perwakilan wanita bersama-sama terlibat dalam pembuatan keputusan demi pembangunan negara yang lebih hebat."
Puan Rathiga Kathervallo Pellai
N31 Batu Lancang
Hasrat Puan Rathiga adalah untuk menjadi ejen perubahan dengan mempromosikan kesaksamaan gender serta menghapuskan keganasan terhadap wanita dan memerangi gangguan seksual.
Beliau mempunyai banyak pengalaman bekerja dalam bidang korporat termasuklah menjadi perunding dan pembekal tenaga kerja dalam beberapa industri seperti elektronik, pembuatan, kereta, makanan, teknologi maklumat, kejuruteraan, perubatan, keselamatan, logistik, media dan hiburan serta pergudangan.
Beliau memperoleh Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan dari University of Lincoln dan merupakan pengarang buku “You’re Hired! Performance Secrets That Always Lead to Higher Income”.
"Saya sangat menghargai dan berasa bangga atas usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menganjurkan Sidang Wanita sebagai salah satu usaha untuk memperkasakan kaum wanita. Program ini telah memberi fokus dalam mencungkil bakat wanita yang berperanan penting dalam pelbagai bidang terutama bidang politik. Platform ini telah memberi peluang kepada saya menyertai proses perbahasan sebagaimana wakil rakyat bersuara di dalam DUN."
Puan Nur Rabbaniah Nur Iskandar
N32 Seri Delima
Mahasiswi ini merupakan antara peserta yang masih dalam pengajian semasa menyertai Sidang Wanita Pulau Pinang 2021. Merupakan seorang pelajar jurusan Kajian Antarabangsa di UNIMAS, beliau berminat untuk menyertai bidang politik dan bercita-cita untuk menjadi salah seorang yang dapat membentuk Malaysia menjadi sebuah negara yang mementingkan kesaksamaan gender.
Menurut beliau, penyertaan dalam Sidang Wanita adalah kerana sokongan tanpa berbelah bahagi daripada penyelia iaitu Cik Haziqah ketika sedang menjalankan latihan industri di PWDC.
"Penyertaan dalam Sidang Wanita merupakan pengalaman yang membuka mata saya tentang kepentingan platform seperti ini dalam memberi pendedahan tentang keadaan sebenar di dalam DUN semasa bersidang. Saya berpendapat wanita yang berminat menyertai politik tetapi tiada keyakinan dan pengetahuan perlu menyertai Sidang Wanita."
Puan Khng Wei-Wen
N33 Air Itam
Beliau merupakan seorang Pegawai Khas di Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari University of London.
"Sidang Wanita ini telah memberi banyak manfaat kepada saya dari pelbagai aspek khususnya dalam menambahkan pengetahuan dan kemahiran diri. Program Sidang Wanita yang komprehensif ini telah memberi peluang kepada saya untuk lebih berani tampil ke depan, bersuara bagi mengutarakan isu-isu relevan dan pandangan dengan lebih holistik."
Puan Noor Batrisyia Ahza Mohamad Imran
N35 Batu Uban
Mahasiswi UniMAP ini bergiat aktif dalam Kelab Yayasan Dakwah Islamiah dan memegang jawatan sebagai Bendahari. Bukan itu sahaja, beliau sering menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang bulan Ramadhan kepada pelajar universiti.
Hobi beliau adalah membaca buku yang berkaitan dengan perniagaan kerana beliau merupakan seorang usahawan. Beliau adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perniagaan Antarabangsa. Pada hujung minggu, beliau sering meluangkan masa dengan menunggang kuda.
"Bagi saya menjadi seorang pelajar dan usahawan pada waktu yang sama tidaklah mudah namun saya yakin dengan bakat dalam diri saya. Saya telah bergiat aktif dalam bidang perniagaan sejak di bangku sekolah lagi. Semasa pandemik COVID-19, saya telah mewujudkan produk jenama saya sendiri “Badgirl Bundle” yang menjual pakaian terpakai. Jualan saya mendapat sambutan ramai di Tik Tok mencecah RM 20 ribu."
Puan Norazian Saad
N36 Pantai Jerejak
Merupakan seorang yang berminat dalam misi bantuan kemasyarakatan dan keusahawanan. Beliau juga berwawasan dan dinamik dalam membantu pembangunan wanita dan kanak-kanak di Malaysia.
Anak jati Balik Pulau ini pernah berkecimpung dalam bidang kewangan lebih 20 tahun. Beliau kini adalah pengedar mesin air tersohor iaitu Kangan Water selama 8 tahun. Beliau pernah melanjutkan pelajaran di asrama penuh dan kemudiannya di Amerika Syarikat.
"Bagi saya pengalaman mengikuti program Sidang Wanita sangat menarik. Saya dapat berkenalan dengan ramai wanita yang berminat dalam bidang politik, korporat dan keusahawanan. Saya belajar daripada wakil rakyat yang berkongsi pengalaman, gerak kerja dan keperluan sebagai seorang ADUN. Syabas kepada semua peserta dan juga tenaga pengajar yang telah membimbing, berkongsi pengalaman dan memberi banyak maklumat yang sangat berguna pada saya."
Puan Shahira Parvin Dato’ Abdul Aziz
N38 Bayan Lepas
Beliau merupakan Pengerusi Persatuan Kebajikan Awam Malaysia Pulau Pinang serta pengasas dan pemilik Nasi Kandar RM1 yang menjual makanan dengan harga RM 1 sahaja untuk setiap item.
Sumbangan beliau sangat besar dalam membantu masyarakat kerana beliau juga adalah Penolong Pegawai Undang - Undang selama hampir 20 tahun. Beliau berharap agar dapat menjadi wakil rakyat sebenar dan bersidang di DUN Pulau Pinang suatu hari nanti demi membela nasib wanita.
Beliau juga graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dari USM.
"Saya sangat bersyukur kerana dapat menjadi salah seorang peserta Sidang wanita 2021. Platform ini telah mencungkil bakat dan menyerlahkan ciri- ciri kepimpinan yang saya miliki. Saya berharap dapat membawa lebih ramai wanita ke sidang ini pada masa akan datang. Teruskan usaha murni ini. Tahniah!"
Puan Nurul Iman Darus
N39 Pulau Betong
Beliau berkhidmat sebagai Pegawai Seranta di Parlimen Balik Pulau dan aktif dalam bidang politik dan aktiviti kesukarelawanan sejak 13 tahun yang lalu. Beliau juga telah dilantik sebagai Setiausaha Wanita PKR Cabang Balik Pulau. Beliau menyeru lebih ramai penglibatan wanita dalam bidang politik kerana beliau yakin wanita mampu menjadi ejen perubahan kepada corak politik Malaysia.
Dalam bidang pendidikan, beliau merupakan pelajar lulusan dari UiTM dalam Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Pelancongan. Beliau merupakan seorang pelajar yang cemerlang kerana pernah menerima Anugerah Naib Canselor serta pernah dinobatkan sebagai Anugerah Siswazah Terbaik Program oleh UiTM pada tahun 2015.
"Pengalaman terpilih menjadi “YB sehari” di Sidang Wanita ini cukup berharga buat saya kerana platform ini berjaya mengumpul ramai wanita yang hebat dan berpotensi untuk diangkat sebagai pemimpin wanita pada masa hadapan. Program Sidang Wanita perlu diteruskan bagi melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang mampan di Pulau Pinang."
Puan Salmiwati Othman
Ketua Pembangkang
N05 Sungai Dua
Beliau mula berkecimpung dalam politik dengan menyertai UMNO ketika berusia 20 tahun dan masih aktif sehingga kini. Minat yang mendalam dalam politik telah menyebabkan cita-cita itu diteruskan walaupun terdapat banyak halangan untuk menceburi bidang ini secara sepenuh masa. Selain itu, kerja-kerja kesukarelawanan merupakan tugas yang diminati sejak dibangku sekolah dan dilanjutkan hingga ke tempat kerja.
Puan Salmiwati sering menyuarakan pendapat beliau dengan menghantar artikel penulisan rencana ke suratkhabar tempatan seperti New Straits Times, BERNAMA, Sinar Harian dan Astro Awani dalam skop pengurusan pendidikan pengajian tinggi dan hal ehwal semasa negara. Beliau kini sedang melanjutkan pengajian peringkat PhD di UKM.
Terpilih sebagai peserta perwakilan Sidang Wanita dan diangkat sebagai Ketua Pembangkang dalam persidangan ini menjadi motivasi untuk saya menyertai politik. Saya berpendapat suara wanita dapat mengangkat isu-isu wanita kerana ianya difahami oleh wanita sendiri sahaja. “Sokongan padu untuk penyertaan wanita dalam bidang politik perlu ditingkatkan memandangkan suara wanita amat penting dalam DUN dan Parlimen”.
Puan Ahasliza Mohamed
N01 Penaga
Sifat kepimpinan yang tinggi mendorong Puan Ahasliza aktif sebagai aktivis dan kaunselor. Beliau sering membantu kaum wanita dan kanak-kanak terutama dalam isu keganasan rumah tangga.
Beliau juga memperjuangkan hak-hak kaum wanita dalam peringkat pembuat dasar dan memastikan tiada unsur ‘pilih kasih’ dalam pemerintahan serta perundangan.
Puan Ahasliza melanjutkan pengajian di USM dalam jurusan Komunikasi major Kewartawanan. Beliau kemudiannya menjadi Wartawan Jenayah dan juga penulis bebas untuk beberapa parti politik negara. Kini, beliau menyandang jawatan sebagai Pegawai Khas di Jabatan Penerangan Pejuanita, portfolio EXCO Perpaduan serta Ketua Orator Pejuanita dan Media Official.
"Sebelum bersidang, saya sering turun ke kawasan bagi mendengar masalah dan membantu rakyat setempat. Sidang Wanita telah menyedarkan ramai orang bahawa kebolehan serta keupayaan wanita tidak boleh dipandang rendah. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam program ini kerana telah merealisasikan impian wanita-wanita hebat.
Puan Ooi Mei Mei
N02 Bertam
Anak jati Pulau Pinang yang berasal dari Telok Bahang ini sering menyertai sebarang program yang melibatkan kepimpinan. Selain menjadi peserta Sidang Wanita Pulau Pinang 2021, Puan Ooi juga menyertai Parlimen Wanita Muda mewakili P009 Alor Setar dan Perwakilan Sidang Muda Pulau Pinang mewakili N02 Bertam.
Aktif dalam aktiviti pengakap, advokasi, pemerkasaan belia dan komuniti tidak menghalang Puan Ooi memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Young Democrats Malaysia, Biro Pendidikan AMK Malaysia dan AJK MPKK Teluk Awak. Kini, beliau berkhidmat sebagai seorang Pegawai Seranta di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Permatang Pauh.
"Pengalaman bersidang dan berbahas telah memberi banyak ruang dan peluang untuk saya lebih celik politik. Saya mengetahui lebih lanjut peranan wanita dalam politik serta sistem demokrasi dalam negara. Pengalaman ini sangat istimewa dan tidak akan saya lupakan."
“Perubahan tidak akan terjadi jika kita menunggu orang lain atau waktu lain. Kita adalah yang kita tunggu-tunggu. Kita adalah perubahan yang kita carikan.”
Puan Yeoh Lay Kim
N04 Permatang Berangan
Beliau seorang yang aktif berkhidmat untuk komuniti dan memegang beberapa jawatan penting dalam persatuan. Beliau terlibat dalam Projek Kemasyarakatan Pelajar Miskin Air Itam, menyandang jawatan Pengerusi Perbadanan Rumah Kos Rendah Bukit Punchor, AJK Persatuan Ibu Bapa SMK Bandar Tasek Mutiara dan Setiausaha Persatuan Komuniti De Ark Pulau Pinang.
Puan Yeoh mempunyai Diploma Perguruan Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Rendah. Beliau berpengalaman lebih 20 tahun sebagai guru. Semangat cintakan bidang pendidikan menyebabkan beliau berjuang membuat pembaharuan dalam sistem pendidikan bagi menjaga kebajikan murid-murid yang miskin.
"Sidang Wanita memberi peluang untuk saya merasai alam politik yang telah diimpikan sejak 33 tahun yang lalu. Dalam persidangan ini, saya berpeluang untuk memperjuangkan isu wanita terutama ibu tinggal dan isu penyelenggaraan pangsapuri kos rendah."
“Behind every successful woman is a tribe of other successful women who have her back”
Puan Nurul Syazwani Shafery
N10 Seberang Jaya
Beliau merupakan salah seorang sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin dan Pembantu Penyiasatan Kes COVID-19. Pada April sehingga September 2021, beliau menjadi jurulatih bagi program E-Sport Coach bagi Pasukan Gadis Bawah 17 Tahun bagi Program Goals Peringkat Antarabangsa di bawah Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN;Girls).
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian) dari UiTM ini kini merupakan seorang penjawat awam. Puan Nurul pernah dinobatkan sebagai Johan bagi Festival Pantun Daerah Timur Laut mewakili jabatannya dan sering menyumbang kepakaran beliau sebagai moderator dalam pelbagai program pada peringkat negeri.
"Saya menyertai Sidang Wanita untuk membuktikan bahawa pandemik COVID-19 bukan halangan untuk setiap wanita melangkah lebih jauh memberikan sumbangan kepada masyarakat. Terpilih sebagai wakil di Sidang Wanita membuatkan saya lebih dekat menyantuni masyarakat dari sudut kebajikan dan ekonomi. Pengalaman dapat berjumpa dengan wanita hebat dalam persidangan ini menjadi sumber inspirasi untuk saya terus maju ke hadapan."
Puan Nur Atiqah Abdul Hadi
N21 Sungai Acheh
Anak jati Pulau Pinang yang berasal dari Jelutong ini merupakan seorang yang berminat dalam bidang politik sejak berusia 22 tahun. Beliau aktif dalam aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh ADUN Datok Keramat dan Parlimen Jelutong.
Pengalaman beliau dalam bidang kepimpinan dan komuniti ialah beliau memegang jawatan dalam MPKK dari tahun 2017 sehingga kini. Dalam bidang politik pula, beliau telah dilantik sebagai Ketua Srikandi Keadilan Cabang Jelutong pada 2017 sehingga 2020 serta dilantik sebagai Ketua Srikandi Keadilan Negeri Pulau Pinang.
Ketika berkhidmat di Pejabat Ketua Menteri, beliau diberi tanggungjawab mengawal selia stok PPE bagi mencegah penularan COVID-19.
"Ketika sesi pemilihan Sidang Wanita saya telah jatuh sakit. Namun, keadaan ini tidak melemahkan semangat saya, malah saya telah berjuang sehingga berjaya menempatkan diri sebagai perwakilan. Sejak kecil saya mempunyai keazaman untuk mejadi wakil rakyat dan platform ini membantu saya untuk memahami tugas sebagai wakil rakyat."
Puan Shanthy Pakirisamy
N40 Telok Bahang
Puan Shanty merupakan seorang yang bermotivasi tinggi dan suka berjumpa dengan orang baharu untuk berkongsi maklumat dan pengalaman. Beliau juga gemar membantu dan membimbing orang lain terutama dalam kehidupan dan mengingatkan mereka bahawa “ia bukan penghujung dunia tetapi ia pilihan yang anda buat dan keputusan adalah milik anda”.
Dalam usahanya memperkasakan wanita lain, beliau banyak melibatkan diri dengan aktiviti dan kumpulan. Dalam bidang kepimpinan beliau merupakan seorang ahli JPWK, menjadi mentor di LeanIn Penang dan sering memberi ceramah dan berkongsi pengalaman hidup sendiri dalam bengkel pemerkasaan wanita. Beliau adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam Pengkomputeran dan Sistem Maklumat serta ibu tunggal kepada anak gadis berusia 10 tahun.
"Sidang Wanita telah membuka mata saya tentang politik dan memberikan saya pengalaman yang dapat saya kongsikan dengan wanita lain. Ini adalah platform yang baik untuk mereka yang berminat dan ingin melibatkan diri dalam politik. “Bersuara untuk hak anda, jika tidak, tiada apa yang akan didengari”.