Puan Kimberly Chin Cheng Theng
Ketua Menteri
N26 Padang Kota
EXCO Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi
Pemegang Sarjana Muda Perhubungan Awam & Media di United Kingdom. Kini merupakan pereka kandungan Bahasa Cina di Penggerak Komuniti Muda (PEKA).
Beliau berharap lebih ramai wanita menceburi dalam platform seperti ini. Sebagai wanita, kita perlu sentiasa berani membuat keputusan tidak semestinya dalam bidang politik tapi dalam sebarang isu-isu yang dihadapi.
“Sidang Wanita merupakan satu platform yang bagus bagi golongan wanita untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman sebagai wakil rakyat. Ini merupakan sejarah yang tidak dapat dilupakan dan peluang keemasan bagi saya apabila terpilih sebagai Ketua Menteri. Tahap keyakinan saya semakin meningkat dan bersedia untuk terus memperjuangkan hak-hak wanita demi masa depan negara yang maju dan cerah.”
Puan Dr. Shereeza Mohamed Saniff
Timbalan Ketua Menteri 1
N03 Pinang Tunggal
Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti
Ibu kepada 7 orang cahaya mata dan merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pembangunan Islam (Pelaku Pembangunan Islam) dari USM dan Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari UIAM.
Merupakan Ahli Majlis Syura Negeri Pulau Pinang, Ahli Jawatankuasa Pembangunan Insaniah & Dakwah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
“Sebagai seorang pendidik & penyelidik, program ini telah membantu saya dari segi capaian maklumat berharga dan kemahiran advokasi. Perkara-perkara ini sangat relevan dan boleh diaplikasikan kepada program dan aktiviti Pembangunan Insaniah yang sedang dan akan dijalankan. Semoga idea Intra-Inter Perpaduan yang dilontarkan dapat disambut baik dan diterima kelak untuk merealisasikan Perpaduan Mampan Pulau Pinang.”
Puan Nalina Devi Applanaidu
Timbalan Ketua Menteri 2
N16 Perai
Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains & Teknologi
Seorang guru berijazah Sarjana Muda Sains Serta Pendidikan (Matematik/Kimia). Berkhidmat sebagai guru di Sabah, Perak dan Pulau Pinang selama 20 tahun.
Cenderung dalam bidang sukan dan aktif dalam sukan olahraga sejak sekolah rendah sehingga kini. Beliau juga terlibat dengan aktiviti sukarelawan bersama rakan.
“Saya Tidak sangka terpilih sebagai salah seorang perwakilan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 2. Amat mengagumi wanita berkaliber yang punyai semangat juang tinggi untuk berkongsi pengalaman masing-masing sepanjang persidangan berlangsung. Ini juga merupakan peluang menimba pengalaman dan paling penting persahabatan yang wujud dan terjalin. Berharap platform pencarian bakat politik wanita seperti ini akan diteruskan.”
Puan Tan Kah Hoay
EXCO
N15 Padang Lalang
Pembangunan Sosial Dan Hal Ehwal Bukan Islam
Beliau berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Malaya, sekarang mempunyai rma guaman sendiri “Hoay Law Chambers”.
Beliau beraspirasi untuk menjadi seorang warganegara yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara.
“Saya berasa bangga diberi peluang untuk menyertai Sidang Wanita 2022 yang mana saya telah mendapat pendedahan kepada pengalaman bersidang dalam DUN. Pengalaman dan isu yang dikongsi dalam sesi-sesi Sidang Wanita kali ini juga membuka mata saya terhadap kepentingan perwakilan dan suara wanita dalam bidang politik.”
Puan Nooraini Youp
EXCO
N29 Datok Keramat
Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa
Pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Utara Malaysia dan Ijazah Doktor Falsafah Universiti Kuala Lumpur.
Beliau telah di anugerah Darjah Johan Negeri oleh Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang pada 2022. Merupakan
Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Pulau Pinang.
Kini beliau bertugas sebagai Pengarah dan Pensyarah Kanan di Open Universiti Malaysia. Beliau adalah pakar
motivasi untuk generasi warga kerja.
“Sidang Wanita telah menyediakan platform yang sangat mantap untuk memartabatkan kaum wanita. Semoga suara wanita lebih lantang dalam membantu kaum wanita-wanita yang lain. Semoga kaum wanita lebih dihargai diseluruh pelosok dunia. Di dalam diri seorang wanita ada kuasa untuk mencipta, memupuk dan mengubah kehidupan wanita yang lain. Tiada yang lebih berkuasa daripada seorang wanita yang berazam untuk bangkit dan memperjuangkan hak wanita yang lain.”
Puan Roos Lailawati Mat Johar
EXCO
N07 Sungai Puyu
Alam Sekitar Dan Kebajikan
Memiliki pengalaman kerja selama 23 tahun dalam bidang Teknologi Maklumat dan elektronik. Jawatan terakhir sebagai IT Architecture Analyst di Pos Malaysia Berhad selama 19 tahun.
Merupakan ahli Parti Amanah Negara (AMANAH) dan pernah berkhidmat selama dua tahun selaku Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuala Kangsar.
Aktif dalam kerja-kerja komuniti selaku tenaga pengajar dalam mata pelajaran Matematik dan Matematik Tambahan di sekolah sekitar Kuala Kangsar.
“Saya berharap dengan penyertaan ke dalam Sidang Wanita Pulau Pinang 2022 memperkasakan lagi ilmu pengetahuan serta kemahiran berkomunikasi berkesan selain memperjuangkan hak, kesejahteraan kaum wanita dan mendayakan golongan wanita untuk sama-sama menerajui kepimpinan dalam negara.”
Puan Karthiyaini Gopal
EXCO
N22 Tanjong Bunga
Infrastruktur & Pengangkutan
Merupakan pemegang Diploma Eksekutif Perhubungan Awam, Universiti Utara Malaysia, pernah bekerja di syarikat pergudangan dan pengangkutan sebagai seorang penyelaras khidmat pelanggan.
Setelah suami terlibat dalam satu kemalangan serta tidak boleh menguruskan diri, beliau memulakan beberapa perniagaan kecil seperti dandanan dan solekan, katering kecil dan ‘surprise delivery’ untuk menyara keluarga.
Beliau juga berpengalaman berkhidmat sebagai kerani am di Pusat Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN). Mengambil peluang itu untuk membantu rakyat dalam segala masalah termasuk isu kewarganegaraan.
“Pada mulanya saya tidak pasti mengenai Sidang Wanita Pulau Pinang ini. Saya jangkakan ia kursus untuk majukan operasi perniagaan saya. Namun, setelah mengharungi perjalanan Sidang Wanita 2022, banyak informasi mengenai penglibatan wanita dalam politik dipelajari daripada para aktivis dan ahli politik yang berkongsi pandangan danbfalsafah mereka. Terima kasih PWDC, perjuangan saya akan berterusan.”
Puan Zainun Yusoof
EXCO
N37 Batu Maung
Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan
Pemegang Ijazah Sarjana MudavPerakaunan daripada Universiti Sains Malaysia (USM). Pernah bekerja sebagai Eksekutif Sistem Kualiti di sebuah kilang di Bayan Lepas selama 5 tahun sebelum memulakan perniagaan sendiri bermula tahun 2003 hingga kini.
Terpilih sebagai penerima Anugerah Usahawan Cemerlang yang menjadikan beliau kini menjadi rujukan kepada usahawan wanita lain.
Berperanan juga sebagai Juruaudit untuk Lembaga Wanita Islam Negeri Pulau Pinang dan Naib Pengerusi Titian Kasih.
Penghargaan yang paling bernilai adalah Pingat Jasa Masyarakat (P.J.M) pada Julai 2022.
“Sebelum ini tumpuan hanya ke arah perniagaan dan keluarga. Kemudian timbul niat untuk membantu kaum wanita dalam mendapat kawalan hidup dan memperjuangkan nasib wanita dengan memberi ilmu dan kemahiran supaya wanita dapat berdikari. Sidang Wanita merupakan platform terbaik untuk memberi peluang kepada para wanita untuk mengasah potensi menjadi pemimpin yang hebat.”
Puan Win Win Htet
EXCO
N34 Paya Terubong
Pelancongan dan Ekonomi Kreatif
Mempunyai latar belakang dalam bidang perubatan serta seorang pencinta alam semulajadi dan minat dalam
usaha kitar semula. Aktif dalam kerja sukarela bersama beberapa NGO dalam lapangan kesihatan dan gaya hidup sihat.
Mempunyai perniagaan sendiri yang menitikberatkan kelestarian alam untuk mewujudkan persekitaran yang
mampan dan berharap lebih ramai masyarakat mempunyai kesedaran yang sama.
“Sidang Wanita Pulau Pinang 2022 jelas telah membuka mata saya betapa penglibatan wanita dalam politik penting dan mampu membuat perubahan besar untuk kebaikan semua lapisan masyarakat. Penglibatan wanita secara langsung dapat melengkapkan keperluan yang tidak dapat dilihat oleh golongan lelaki. Ia jua mengajar saya untuk bersikap terbuka untuk mendengar pandangan yang berbeza serta berani menyuarakan pendapat sesama perwakilan.”
Puan Dr. Sakeena Zahidah
Mohamed Shah Redza
EXCO
N08 Bagan Jermal
Belia dan Sukan
Berlatarbelakangkan kelulusan doktor falsafah dalam bidang pengurusan, beliau kini seorang penyelidik di sebuah syarikat penyelidikan swasta.
Mempunyai pengalaman lebih 10 tahun di dalam NGO terutamanya Pertubuhan IKRAM Malaysia. Kini tahun kelima beliau memegang jawatan sebagai Ketua Wanita Daerah di cawangan IKRAM Pulau Pinang.
Beliau aktif dengan aktiviti kemasyarakatan, projek pembangunan komuniti, dan advokasi golongan sasar wanita dan kanak-kanak.
“Pengalaman menyertai sidang ini memberi gambaran yang lebih jelas kepada saya tentang proses bagaimana pelaksanaan sesuatu keputusan itu berlaku di peringkat pembuat dasar. Hal ini penting sebagai didikan kepada masyarakat apabila diri sendiri melalui pengalaman dan proses tersebut. Saya amat galakkan
wanita lain menyertai program sebegini kerana kita tidak akan dapat belajar sesuatu seperti ini hanya melalui pembacaan dan pengalaman sebenar adalah guru terbaik!”
Puan Siti Halijah Kamarudin
EXCO
N12 Penanti
Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar
Bandar & Kesihatan
Berpendidikan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan & Pengajaran (Bahasa Kebangsaan) dari Open Universiti Malaysia.
Berpengalaman dalam bidang pendidikan serta mempunyai 15 tahun pengalaman dalam mendidik jurusan sekolah Kurikulum Standard Sekolah Menengah dan sukatan sekolah antarabangsa.
Beliau juga mempunyai pengalaman dari segi pendidikan psikologi. Membantu budak yang bermasalah rumah (Kowaja). Serta Biro Bantuan Usahawan Muda (DPMM).
“Saya berasa bangga terpilih menyertai Sidang Wanita 2022 kerana dapat belajar dan pengalaman lebih mendalam dalam bidang politik. Saya juga menimba pengalaman yang tidak dilupakan bekerja dengan petugas-petugas persidangan dan berkongsi idea yang amat bernas. Saya berharap akan terus berjuang mempertahankan hak wanita serta memartabatkan wanita hingga wanita di pandang mulia oleh masyarakat.”
Puan Mawarni Zakariah
N06 Telok Ayer Tawar
Seorang yang ceria dan mudah bertegur sapa dengan sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Beliau merupakan lulusan graduan Universiti Teknologi MARA (UITM) Perlis 1989-1991 dalam jurusan Diploma Sains Kesetiausahaan.
Memulakan kerjaya di Honda Motor sebagai pelatih dan kemudian berkecimpung dalam bidang Insurans di AMI Insurance dan kini berkhidmat sebagai Eksekutif Pentadbiran di Penang Development Cooperation (PDC)
sejak tahun 1997 hingga kini.
“Melalui platform ini hak-hak wanita kini banyak disuarakan, ia juga turut melatih dan mencungkil bakat-bakat baharu untuk lebih berani bercakap dan berani tampil ke depan. Di samping itu, ia juga turut memberikan anjakan keyakinan diri serta melatih para wanita untuk lebih bersosial dengan wanita lain yang datang dari pelbagai bidang dan latar belakang. Hak-hak wanita di tempat kerja dan juga bidang keusahawanan banyak dibahas di dalam dewan.”
Puan Madhuri Gunasekaran
N09 Bagan Dalam
Merupakan seorang guru Bahasa Melayu selama 10 tahun. Pemegang Diploma Pendidikan TESL serta sedang melanjutkan pelajaran dalam Bidang Kesusasteraan Melayu di Universiti Sains Malaysia.
Selain itu beliau juga merupakan seorang pemeriksa kertas Bahasa Malaysia UEC. Banyak pengalaman saya dalam bidang pendidikan serta komitmen yang tinggi.
Beliau banyak menolong pelajar dengan kelas percuma serta dengan kadar bayaran yang sangat rendah dalam menimba ilmu pengetahuan.
“Pengalaman yang saya tidak dapat lupakan apabila diberikan peluang untuk mewakili KADUN serta mengambil langkah untuk mengetahui masalah penduduk serta yang paling tidak ternilai ialah menjejakkan kaki di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Saya banyak menimba ilmu pengetahuan sepanjang program
Sidang Wanita 2022 berlangsung dan berharap untuk terus berbakti kepada masyarakat dan negara.”
Puan Dr. Noormaizatul Akmar Ishak
N11 Permatang Pasir
Graduan B.Eng in Electronics (Hons) dari University of Leeds, United Kingdom, MSc. In Information Management dari UiTM, dan Ph.D in Technology Management di Universiti Utara Malaysia.
Memulakan kerjaya sebagai jurutera di R&D Division, PROTON Berhad sebelum berpindah ke Switching Planning Divison, CELCOM Berhad sebagai jurutera kanan.
Menyertai Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebagai pensyarah sebelum dilantik sebagai Profesor Madya pada 2020.
“Saya percaya wanita mesti berilmu dan beradab memahami politik. Peranan dan tanggungjawab seorang wakil rakyat wanita sangat penting terutama menguatkan sosioekonomi dan pendidikan sesebuah keluarga. Wanita selalu diangkat sebagai pimpinan ketika ada percanggahan antara pihak lelaki yang merebut jawatan. Saya percaya pemimpin wanita sedia ada perlu bijak melatih pelapis wanita yang lain untuk bersedia menggalas kepimpinan negeri dan negara.”
Puan Puspavali Munaindy
N13 Berapit
Merupakan seorang operator di sebuah kilang dengan tahap pendidikan tertinggi adalah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Saya juga adalah seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 15 tahun. Amat berminat dengan kerja-kerja sosial seperti membantu keluarga serta bergerak aktif dalam platform
pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selain turut memegang jawatan sebagai Setiausaha Kehormat.
“Sidang Wanita memang hebat. Banyak perkara yang saya dapat dipelajari, selepas belajar dengan para wanita hebat sepanjang program ini. Saya berasa amat bangga dengan pencapaian diri sendiri. Program ini juga mengajar wanita seperti saya boleh berdikari sendiri dan berani menghadapi cabaran.”
Puan Yogamalar Chandran
N14 Machang Bubok
Seorang individu yang bertenaga dan bermotivasi dengan semangat yang tinggi dalam bidang mendidik anak-anak kecil dan pelajar sekolah.
Pemegang Ijazah Sarjana Psikologi Pendidikan ini juga komited untuk menerapkan keseimbangan emosi serta memelihara dan memulihara pendidikan anak muridnya terutama dalam sudut kesihatan mental masyarakat.
“Selepas menyertai Sidang Wanita Pulau Pinang 2022, saya semakin bersedia untuk menyumbang kepada golongan wanita untuk maju dengan wawasan negara, serta bersedia untuk mengasah lagi kemahiran dan pengetahuan sedia ada demi memperkasakan peranan wanita.”
Puan Baavatharani Chandran
N17 Bukit Tengah
Seorang yang aktif dan merupakan sebahagian daripada Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Kelantan yang memegang jawatan selaku Naib Yang Dipertua Kampus Jeli.
Mempunyai pemikiran positif dan berminat mempelajari dan menimba pengalaman dalam bidang kepimpinan dan kemahiran praktikal kerana mahu berkhidmat kepada komuniti.
Sering terlibat aktif sejak di bangku sekolah hingga ke peringkat universiti, selain itu turut melibatkan diri dalam program pemerkasaan wanita seperti The Girls 4 Girls (G4G) Malaysia.
“Sidang Wanita telah berjaya mengasah kemahiran saya terutama sekali kemahiran dalam berkomunikasi secara verbal dengan individu sama ada dalam dan luar organisasi. Ini merupakan pengalaman yang amat manis dan akan saya ingati sebagai pembakar semangat untuk maju pada masa hadapan.”
Puan Bagseswari M Subramaniam
N18 Bukit Tambun
Merupakan pemegang Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Abertay Dundee, Scotland. Kerap melibatkan diri dalam pelbagai NGO di Pulau Pinang.
Pernah berkhidmat di sebuah bank tempatan bermula tahun 2010 sebelum menceburkan diri dalam bidang insurans dan kini merupakan seorang usahawan wanita yang bangga dengan perniagaan milik sendiri.
Bercita-cita untuk menjadi seorang wakil rakyat yang berhemah tinggi demi membantu wanita khususnya ibu tunggal dan warga emas.
"Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Begitulah terjemahan potensi sebenar saya sepanjang mengikuti Sidang Wanita 2022. Pengisian padat sepanjang empat fasa mengasah kebolehan pengucapan awam dan advokasi saya berbahas secara efektif menyampaikan mesej. Rasa sangat teruja apabila mendapat sokongan daripada para peserta lain yang turut berkobar-kobar ingin memperkasakan penglibatan politik mereka.”
Puan Siti Nur
Jannatulna’em Abd Hamid
N19 Jawi
Memegang Sijil Hotel & Katering dari Kolej Komuniti Sungai Petani. Merupakan seorang usahawan dengan menubuhkan syarikat Jannah Computer Sdn Bhd dari tahun 2008 sehingga sekarang.
Pengarah di syarikat Jannah Computer Sdn Bhd. Aktif dalam kesukarelaan bersama masyarakat seperti bantuan banjir dan sebagainya. Beliau berhasrat memperjuangkan hak dan nasib wanita terutama dikalangan suri rumah sepenuh masa dan kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam mempertingkatkan keupayaan diri dan menambah pendapatan pada golongan tersebut.
“Sebelum menyertai Sidang Wanita 2022, saya mempunyai kurang keyakinan terhadap diri sendiri, namun setelah saya mengikuti proses pemilihan dan berjaya terpilih 40 peserta akhir. Keyakinan diri saya makin baik kerana dikelilingi oleh wanita-wanita hebat lain yang terdiri daripada kalangan profesional dan akademik. Minat terhadap politik semakin subur kerana melalui platform ini saya berpeluang untuk berkhidmat membantu wanita dan negara.”
Puan Noor Azizah Abdul Razak
N20 Sungai Bakap
Merupakan seorang usahawan dalam bidang penyediaan makanan hampir 30 tahun dan kini membina perniagaan dalam bidang makanan.
Beliau merupakan sukarelawan aktif dalam pertubuhan kebajikan. Pernah menjadi moderator di beberapa kumpulan NGO dan tahun ini adalah penggal terakhir sebagai seorang Ketua Puteri Penerangan setelah hampir 10 tahun memegang jawatan tersebut.
“Sidang wanita 2022 telah banyak memberi pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh sesiapapun yang menyertainya. Peluang berjumpa dengan Dato’ Seri Dr. Wan Azizah secara bersemuka adalah kenangan yang paling indah. Selepas penyertaan saya dalam sidang wanita ini ingin saya kongsikan bahawa kenalan saya ke arah politik ni makin kukuh.”
Puan Nooriza Ilias
N24 Kebun Bunga
Telah lama berjinak dengan politik. Pernah menjawat jawatan setiausaha Dewanita - Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan Usahanita Pulau Pinang, Ketua Cawangan dan Bendahari JKKK kampong dan Naib Yang di Pertua di dua buah sekolah di Butterworth.
Beliau kini bertugas sebagai Pengurus di syarikat milik keluarga. Minat beliau dalam pelancongan telah membawa beliau ke beberapa negara di dunia seperti England, Perancis, Oman, Qatar , Vietnam, Thailand, Singapura, Indonesia dan Arab Saudi.
“Pernah saya berangan-angan ingin masuk ke Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang sebagai pemerhati. Alhamdulillah dengan adanya Sidang Wanita ini bukan sahaja membolehkan saya berpeluang untuk masuk ke dalam dewan Undangan Negeri tetapi dapat berbahas sebagai wakil rakyat. Ini adalah satu anugerah yang tak ternilai. Semoga impian saya untuk terus bersidang sebagai wakil rakyat yang berintegriti menjadi kenyataan
pada satu hari nanti. “No one can make you feel inferior without your consent.”
Puan Soraya Salim
N25 Pulau Tikus
Berkelulusan Sarjana Undang-Undang (LL.M) dari Universiti Malaya dan Sarjana Muda Undang-Undang & Shari'ah (LL.B Shari’ah) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Berpengalaman lebih 15 tahun sebagai peguam korporat di organisasi multinasional. Mengetuai Biro Undang-undang Wanita Amanah Nasional dan sering diundang sebagai panelis dan moderator dalam forum dan webinar.
Artikel-artikel tulisan beliau disiarkan di portal-portal media tempatan. Kini menyandang jawatan Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan Malaysia dan Setiausaha Wanita Amanah Nasional, Parti Amanah Negara, selain memimpin NGO Pertubuhan Wanita untuk Advokasi & Pemberdayaan (WAVE).
"Sidang Wanita Pulau Pinang 2022 bukan sekadar mencungkil karisma kepimpinan wanita malah menjadi wadah penting bagi kami memberikan input konstruktif untuk turut menyumbang idea dalam kelestarian pembangunan Pulau Pinang, khususnya dalam pemerkasaan wanita, keluarga dan komuniti. Inisiatif ini harus
diangkat ke peringkat Parlimen agar 30% representasi kepimpinan wanita dapat segera dicapai."
Puan Suhaili Aainaa Shahruddin
N27 Pengkalan Kota
Beliau merupakan (Kumpulan ‘Lady Truckers’ Malaysia) pemandu lori wanita 20 tan yang cekal dan tegas.
Beliau juga seorang ibu tunggal yang berpengalaman dalam bidang perniagaan dan perhubungan awam.
Beliau juga mempunyai kelebihan menguasai beberapa bahasa, kepelbagaian perkerjaannya telah mendidik dirinya beretika dan berdedikasi tinggi.
“Saya menyertai Sidang Wanita kerana ingin menimba pengalaman sebanyak mungkin dan meluaskan pandangan terhadap isu-isu melibatkan wanita yang diketengahkan. Saya sangat berpuas hati dan ini menyuntik pemikiran positif apabila dapat faham lebih mendalam mengenai perjuangan wanita dalam arena politik pada masa kini dan saya memberi sokongan penuh agar program seumpama ini diteruskan.”
Puan Rosilawati Toleh
N28 KOMTAR
Beliau merupakan seorang ibu tunggal yang sangat aktif dalam badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), AJK MPKK Bangkok Lane (Biro Kebajikan dan Sukarela), Persatuan Ibu Tunggal Mutiara Pulau Pinang sebagai Pengerusi Bahagian Tanjung dan banyak lagi.
Dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada tahun 2020 oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjadi pemangkin semangat beliau untuk terus berbakti mahupun cuma berbekalkan pengalaman dan pendidikan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
“Sebelum menyertai Program Sidang Wanita Pulau Pinang ini saya hanya menyertai program-program anjuran secara dasar sahaja, apabila bergelar sebagai ADUN Komtar, ia telah memberi pengalaman baru untuk saya dalam membuat kajian dan cadangan sebagai wakil persidangan. Malah dengan bertemu dengan banyak golongan profesional Wanita yang lain berkongsi idea serta bertukar pendapat memberi saya semangat untuk meneruskan usaha saya dalam mewakili wanita dalam apa jua aktiviti.”
Puan Tan Lay Pheng
N30 Sungai Pinang
Pemegang Sarjana Muda Teknologi (Kepujian) dan Sarjana Sastera (Pengurusan) dengan bidang pengajian Perlakuan Organisasi dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Merupakan seorang penterjemah bertauliah. Bergelar suri rumah selepas kelahiran anak pertama. Menjalankan kerja sambilan sebagai seorang penterjemah & menubuhkan 'MZMZVenture Translation' yang memberikan perkhidmatan penterjemahan profesional termasuk terjemahan dinotari dan disahkan dan diakui
oleh semua institusi dan organisasi.
“Pengalaman menjadi ADUN di Sidang Wanita 2022 amat bermakna. Ia menjadikan saya lebih faham tentang struktur dan fungsi DUN di Pulau Pinang serta lebih peka terhadap hal-hal politik dan hak wanita. Semoga pengalaman itu dapat memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.”
Puan Sumathi Sundrarajoo
N31 Batu Lancang
Berumur 44 tahun dan mempunyai perniagaan sendiri. Merupakan Pengerusi dan pengasas Persatuan Kebajikan Warisan Pulau Pinang dan Setiausaha Pasar Awam Seberang Jaya.
Merupakan seorang yang aktif dalam menganjur dan mengurus aktiviti ke sukarelawan dan kemasyarakatan sekitar Pulau Pinang.
Berhasrat untuk membantu meringankan beban golongan B40 dan perjuangkan kesejahteraan keluarga dan juga jalinan perpaduan antara kaum dengan mempertimbangkan aktiviti pemupukan keharmonian etnik.
“Sidang Wanita Pulau Pinang menyediakan satu platform kepada golongan wanita daripada pelbagai latar belakang supaya lebih memahami peranan dan tanggungjawab wakil rakyat. Program ini juga dapat mencungkil bakat wanita dan meyakinkan wanita untuk tampil ke hadapan.”
Puan Ruslina Husain
N32 Seri Delima
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dan Pengurusan Pekerjaan selain turut berperanan sebagai Ketua Jemaah Umrah bagi Syarikat Syarikat Kristal Aswad Services.
Mempunyai pengalaman luas sebagai pendakwah selain merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah di Yayasan Islam Kedah (Yink Niaga), Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Merbok. Aktif dalam kerja politik di akar umbi selaku Ketua Angkatan Wanita Amanah Kawasan Merbok, Naib Ketua Angkatan Wanita Amanah Kedah, Penyelaras Dun Tanjung Dawai serta merupakan Pengerusi Whins Kedah (Wanita Harapan Inspirasi Nusa Kedah).
“Ini merupakan pengalaman berharga apabila dapat berada dalam Dewan Undangan Negeri selain bersama perwakilan lain menerima tunjuk ajar dan teguran langsung daripada Dato’ Speaker. Sidang Wanita adalah satu
platform yang sangat membina untuk kita terus melangkah sebagai wanita hebat dan selaku penggubal dasar dan pembuat keputusan suatu hari nanti.”
Puan Jasniza Jamaluddin
N33 Air Itam
Berkhidmat sebagai Penolong Ketua Pegawai Operasi di Unit Mutiara Food Bank Pulau Pinang yang membantu dari sudut keselamatan makanan, kebajikan dan menyantuni masyarakat setempat.
Anak jati Pulau Pinang yang mendapat pendidikan dalam bidang teknologi maklumat (IT) serta punyai pengalaman dalam bidang pengurusan sumber manusia di sebuah syarikat swasta sebelum menyertai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang.
“Selepas menyertai Sidang Wanita ini, diri lebih yakin bertutur di depan khalayak orang ramai untuk menyuarakan pendapat, ianya salah satu bakat diperlukan dalam perkhidmatan seorang aktivis atau sukarelawan untuk sentiasa mengasah idea dan menyakinkan orang ramai. Ini merupakan pembakar semangat untuk saya bergerak lebih aktif. Saya menyeru agar lebih ramai kaum wanita menyertai dan menjadi suara rakyat dalam mengubah dan membuat keputusan serta membantu pemimpin-pemimpin wanita di Pulau Pinang untuk terus melakar sejarah demi masa depan anak kita semua.”
Puan Sharenia Gunasagaran
N35 Batu Uban
Merupakan mahasiswi tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Pemakanan di Universiti Sultan Zainal Abidin dan seorang yang aktif dalam kerja-kerja sukarelawan dan aktivisme.
Sering terlibat secara aktif dalam program anjuran pihak universiti atau NGO sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Beliau turut aktif menganjurkan program selaku pengarah program dalam usaha pembangunan sahsiah dan intelektual dalam kalangan mahasiswa.
“Saya percaya bahawa peranan wanita bukan sahaja di dapur namun boleh dan mampu menyumbang dalam pembangunan negara. Setiap wanita perlu dilayan secara saksama dan dihormati tidak kira bangsa, darjat, umur dan statusnya. Banyak yang saya pelajari sepanjang berada di Sidang Wanita Pulau Pinang 2022.”
Puan Siti Balkhis Husain
N36 Pantai Jerejak
Merupakan seorang usahawan wanita dalam bidang perhotelan dan telah membuka perniagaan penginapan iaitu Hotel Jerai Ct Inn sejak tahun 2018.
Aktif sebagai aktivis masyarakat melalui beberapa NGO selain membantu masyarakat termasuk bergerak aktif menghantar bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam dan banjir.
Aktif dalam parti politik sejak tahun 2015 melalui Parti Amanah Negara. Jawatan terkini dalam parti sebagai AJK Amanah Negeri Kedah dan juga sebagai Ketua Wanita Kawasan Jerai serta mengetuai Biro Kesenian dan Kebudayaan Kedah.
“Sebelum ini saya memang terdedah dan melibatkan diri dalam politik, namun pengalaman menyertai Sidang Wanita ini umpama pucuk dicita ulam mendatang kerana beri pengalaman dan ilmu yang sangat diperlukan. Banyak ilmu dan perkongsian yang dapat memberi inspirasi dan bimbingan untuk saya bergerak di platform yang tepat sebagai ahli politik. Berazam untuk bawa suara wanita untuk diketengahkan agar dapat perhatian oleh kerajaan yang memerintah.”
Puan Subhanisha Sultan Mohamed
N38 Bayan Lepas
Merupakan seorang usahawan dalam bidang fesyen, menjahit dan pengurusan acara serta memiliki perniagaan sendiri di bawah jenama Rafanda Fashion dan Royal Queen Wedding Planner.
Pernah memenangi Anugerah Usahawan dari PWDC pada tahun 2022. Seorang yang aktif dalam membantu secara sukarela untuk wanita yang berminat dalam bidang perniagaan.
Turut aktif melibatkan diri dalam sebuah NGO iaitu Pertubuhan Bersama Usahawan Wanita Pulau Pinang (UniWEPP) dan diamanahkan sebagai Bendahari.
“Sidang Wanita adalah sebuah platform yang membawa diri saya ke satu peringkat yang lain, di sini saya berpeluang mengenali ramai wanita hebat yang berpengaruh dalam pelbagai bidang. Satu pengalaman yang amat menarik dan berbangga apabila merupakan salah seorang yang terpilih untuk bersidang di DUN. Golongan wanita harus bijak merebut peluang perniagaan secara kecil dan sederhana bagi menambah pendapatan keluarga sekali gus menjadikan mereka golongan berdikari serta mempunyai mata pencarian sendiri.”
Puan Umaa Maheswarii
Kunasagaran
N39 Pulau Betong
Merupakan pascasiswazah yang mengambil kursus Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL).
Berinspirasi menyertai persidangan ini adalah untuk menjadi individu yang sentiasa ingin mendidik diri dan mempelajari perkara baru.
Beliau juga berhasrat memperoleh pengalaman untuk berinteraksi dengan wanita-wanita lain yang berkaliber dan berpengetahuan luas agar dapat melatih dirinya menjadi seorang insan yang berdaya saing secara sihat.
"Pengalaman saya sebagai ADUN Pulau Betong amat unik dan telah memberi saya pengalaman manis yang banyak membuka minda. Perkenalan saya bersama wanita-wanita berpotensi yang lain memberi saya peluang untuk menjadi seorang yang berkeyakinan diri untuk bercakap dan bertukar pandangan."
Puan Zafrina Ismail
Ketua Pembangkang
N05 Sungai Dua
Beliau berkelulusan Ekonomi (Sarjana) serta penjawat awam di MARA Pulau Pinang selama 15 tahun sebagai Ketua Pembiayaan Perniagaan.
Beliau pernah membentangkan jurnal di peringkat antarabangsa, beliau turut dijemput sebagai pensyarah undangan di UniRazak dan WOU.
Beliau cenderung ke arah mendorong keusahawanan kerana mempunyai ilmu yang agak luas berkaitan semua bidang perniagaan kerana pernah menghadiri lebih 40-50 kursus keusahawanan dan kewangan MARA.
“Pengalaman yang amat bermakna sebagai Ketua Pembangkang dalam Sidang Wanita telah mengeluarkan ciri-ciri kepimpinan dan ketokohan dalam diri saya yang saya ragui. Ternyata platform yang diberi membuka ruang kepada saya untuk memperjuangkan hak sama rata kepada semua terutamanya wanita dengan lebih berani dan tegas. Yakin akan kemampuan diri serta sokongan wanita pelbagai kaum yang tidak berbelah bahagi, saya bersyukur dapat membuka NGO untuk mewakili mereka di persada yang lebih besar.”
Puan Mazni Ibrahim
N01 Penaga
Memperolehi Ijazah Sarjana Undang-undang (Dasar Awam dan Kepentingan Awam) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Beliau mempunyai pengalaman lebih 16 tahun dalam pemerkasaan komuniti orang asli, advokasi perundangan strategik, penglibatan belia dan pendidikan hak asasi manusia.
Beliau juga merupakan salah seorang penggerak utama di sebalik Persidangan Undang-undang Malaysia Antarabangsa 2012 yang julung kali diadakan oleh Majlis Peguam Malaysia.
Pada masa ini, beliau sedang mengusahakan topik hukuman mati.
“Sidang Wanita memberi peluang kepada wanita untuk mengalami sendiri proses di belakang tabir sebagai seorang wakil rakyat. Ia memberi peluang kepada wanita untuk bertemu rakyat dan cara-cara menyantuni mereka, proses membahaskan isu-isu rakyat setempat bagi memastikan nasib mereka di ambil peduli, dan tatatertib dan mempelajari peraturan di Dewan Undangan Negeri yang mulia.”
Puan Wong Ho Yuin
N02 Bertam
Puan Wong adalah seorang yang aktif dalam aktiviti NGO. Beliau menyertai NGO seperti JCI United Penang, Rose Charities Malaysia, Penang Chinese Chamber of Commerce (Youth Entrepreneur Section) dan Kong Min School Old Pupils’ Association.
Dalam bidang kepimpinan, beliau memegang jawatan sebagai penolong bendahari dalam Kong Min School Old Pupils’ Association, AJK JKKK Thean Teik dan Setiausaha JKKK Thean Teik.
Dalam bidang politik, beliau menyertai parti DAP sejak tahun 2016 dan memegang jawatan sebagai Timbalan Setiausaha di DAP cawangan Air Itam pada tahun 2022/2023.
“Sidang Wanita memberi saya peluang memahami dalam bidang kuasa dan tanggungjawab sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri dan prosedur bahas di Dewan. Program ini menawarkan satu platform untuk golongan wanita melatih dan menceburi diri dalam bidang politik agar dapat melayakkan diri menjadi wakil rakyat.”
Puan Vikneswary Harikrishnan
N04 Permatang Berangan
Menamatkan Ijazah Sarjana Muda di UNISEL kemudian berkhidmat sebagai pegawai Amanah Saham Bumiputera di CIMB SDN BHD.
Melanjutkan Sarjana dalam pentadbiran perniagaan di Kolej INTI. Kini pelajar Ijazah Kedoktoran di Universiti Wawasan.
Pengalaman ketika pandemik dan bencana yang melanda negara mendorong beliau untuk menyertai gerakan kesukarelaan dan akhirnya sebagai ahli parti politik MUDA.
“Sidang Wanita Pulau Pinang 2022 merupakan satu pencapaian bermakna bagi perjalanan karier politik saya sekali gus mengasah bakat kepimpinan. Saya berpendapat penglibatan wanita dalam dunia politik perlu diperluaskan di peringkat Dewan Rakyat. Jika seorang wanita mampu mengurus rumah dan keluarga kenapa tidak mengurus negara? Perubahan tidak akan terjadi jika kita tidak bertindak. Kitalah perubahan yang dicarikan."
Puan Rusmawati Yusoff
N10 Seberang Jaya
Beliau merupakan seorang yang aktif dalam bidang politik dan kemasyarakatan terutamanya hal-hal berkaitan isu kemiskinan dan juga kebajikan.
Puan Rusmawati berhasrat untuk menjadikan masyarakat yang lebih penyayang dalam meningkatkan keharmonian pelbagai kaum di Malaysia.
“Saya mempunyai masalah gemuruh apabila bercakap di hadapan orang ramai namun apabila saya menyertai Sidang Wanita 2022, saya dapat berkomunikasi dengan baik dan yakin dengan diri. Pengalaman yang sangat berharga buat saya di mana saya akan lebih berani tampil membawa isu wanita terutamanya isu keganasan terhadap wanita.”
Puan Zubaydah Zamri
N21 Sungai Acheh
Beliau seorang yang aktif menjalankan aktiviti kebajikan serta memiliki perniagaan makanan “Heathy Food - Nature Bites Kitchen”.
Objektif menjalankan perniagaan makanan sihat untuk mencari dana bagi tabung kebajikan iaitu, 3M (Muhammad Muhaimin Mission).
Sumbangan dana ini terbahagi kepada dua unit “Cancer Support Kit” dan “Care & Kindness Support”. Beliau kini sedang menuntut dalam kursus Ijazah Pengurusan Psikologi selain turut mempunyai pengalaman bekerja sebagai pentadbir am di Wawasan Open University (WOU) lebih 10 tahun.
“Sebelum saya menyertai Sidang Wanita, saya terlibat aktif dalam kerja kebajikan dan perniagaan Healthy Food selama tiga tahun. Alhamdulillah, apabila saya diberi peranan sebagai Pembangkang, KADUN Sungai Acheh, Balik Pulau. Ia merupakan kawasan di luar bandar dan saya berharap sistem sokongan sewajarnya dapat diperkasakan khusus buat golongan wanita.”
Puan Ratanamala Thannimalay
N40 Telok Bahang
Merupakan ahli perniagaan dan juga pemegang ijazah dalam bidang perniagaan dan psikologi dari Kolej Nirwana Kuala Lumpur.
Mempunyai pengalaman luas dalam bidang kaunseling dan aktif dalam kerja-kerja kesukarelawan serta turut bergiat aktif selaku pengasas di sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
Kerap melibatkan diri bersama pihak sekolah bagi tujuan membimbing pelajar yang bermasalah. Salah seorang yang aktif bersama kerja sukarelawan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang sewaktu Covid-19 melanda negara.
“Peluang bersidang di DUN Pulau Pinang merupakan impian saya untuk menjadi wakil rakyat. Ini merupakan percubaan kali kedua saya untuk cuba bersidang selepas hanya bergelar pembantu EXCO pada sesi Sidang Wanita yang lepas. Berharap dengan peluang ini akan membuka ruang memperjuangkan hak wanita dalam landasan politik.”