Puan Dr. Teoh Hong Kean Theng
Ketua Menteri
N26 Padang Kota
Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah Dan Komunikasi
Merupakan Bekas pensyarah kanan dari Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara dengan latar belakang pendidikan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Malaya dalam bidang kepimpinan dan kepengetuaan, Sarjana Pendidikan (Master) dalam bidang Psikologi dari Universiti Sains Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dari Universiti Pertanian Malaysia. Pada tahun 2022 beliau telah menerima pingat Anugerah Bintang Cemerlang Negeri (BCN) daripada Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
"Sidang Wanita merupakan platform yang terbaik untuk mendedikasikan diri bagi memperjuangkan hak dan keperluan wanita dalam komuniti setempat. Saya memperoleh pengalaman untuk bertemu dengan ahli politik, mengenal pasti isu semasa, dan merasai sendiri pengalaman bersidang Dewan Undangan Negeri. Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, saya tetap komited, mengadakan mesyuarat dalam talian, meningkatkan kapasiti ahli EXCO dan memperkasakan wanita. Saya yakin dan percaya dengan perubahan positif, mengukuhkan kepercayaan saya terhadap kepentingan aktivisme tempatan dan kesaksamaan jantina."
Puan Elia Nadira Sabudin
Timbalan Ketua Menteri 1
N37 Batu Maung
Pembangunan Agama Islam,
Pendidikan, Pengajian Tinggi
dan Perpaduan Masyarakat
Berkelulusan Sarjana Kejuruteraan Elektrik (Mekatronik) dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Merupakan seorang usahawan bidang tekstil dan barang dagangan serta berkhidmat di Parlimen Sri Gading.
Memegang jawatan Pengerusi Biro Ekonomi Wanita Amanah Nasional, Pengarah IT Amanah Johor, Pengarah Komunikasi Wanita Amanah Johor dan Ketua Wanita Amanah Kawasan Sri Gading.
Pernah bertanding mewakili Pakatan Harapan pada Pilihanraya Negeri Johor tahun 2022. Berpengalaman lebih 15 tahun sebagai aktivis dalam memperjuangkan isu rakyat serta aktif memimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan dan wanita.
Kini beliau berada di tahun akhir pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di UTHM dalam bidang yang sama. Beliau turut memegang jawatan Presiden Pelajar Pascasiswazah Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTHM sebagai Setiausaha Majlis Perwakilan Pascasiswazah UTHM.
"Pengalaman menyertai Sidang Wanita 2023, merupakan proses menajam dan mematangkan minda, serta memperkasakan potensi dan bakat diri dalam bidang politik dan perlembagaan Malaysia. Ini adalah satu penghormatan buat wanita kerana inisiatif ini berjaya mendidik dan mengangkat martabat wanita sebagai pemimpin yang diiktiraf masyarakat dan negara."
Puan Varohthini K. Maharaja
Timbalan Ketua Menteri 2
N29 Datok Keramat
Pembangunan Modal Insan,
Sains Dan Teknologi
Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains Forensik dari Glyndwr University, United Kingdom. Memiliki Sijil Graduan Pengajian Siswazah iaitu gabungan dua sarjana (Master) dalam bidang Biological Anthropology dan Archaeological Science dari Australian National University dengan pengkhususan Human Evolution, Primatology dan Archaeology. Menerima Sarjana (Master) ketiga dari Liverpool John Moores University, United Kingdom dalam bidang Forensik Antropologi dengan pengkhususan Identifikasi Manusia dan penyiasatan kebakaran (Fire Investigation).
Beliau juga, merupakan ahli dalam Servis Kecemasan Antarabangsa Kenyon iaitu sebuah syarikat pengurusan krisis sulit dan bencana yang berperanan dalam pencarian, penyelamatan, dan identifikasi mayat dalam situasi darurat, serta pengurusan kesan peribadi yang komprehensif.
Berpengalaman luas sebagai ahli arkeologi sukarelawan di lapangan dan telah membantu dalam pengidentifikasian tulang manusia, haiwan, dan objek lain dari kawasan tertentu. Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Palawan State University Filipina di dua fakulti, iaitu College of Nursing & Health Sciences dan College of Criminology & Justice Education.
Kini, beliau mengajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Forensik Antropologi di Universiti Teknologi Malaysia, Johor.
"Sidang Wanita 2023 telah mengubah pandangan saya secara mendalam tentang politik dan kepentingan wanita dalam politik. Saya berpeluang berbahas dan memahami fungsi Dewan Undangan Negeri dan berinteraksi dengan wanita-wanita hebat. Pengalaman ini tidak hanya memberi saya perspektif baru, tetapi juga memperkuat jaringan dengan komuniti wanita."
Puan Siva Priya Rajayogan
EXCO
N21 Sungai Acheh
Perdagangan, Pembangunan
Keusahawanan dan
Luar Bandar
Berkelulusan Ijazah Sarjana (Master) Pentadbiran Perniagaan dari Open University Malaysia dan kini mengikuti Ijazah Sarjana Muda Jurispruden dari Universiti Malaya.
Pengalaman bekerja sebagai pembantu peribadi pada pemimpin di Ibu Pejabat Parti Politik Kebangsaan dan pernah menjadi pengurus kempen bagi calon parlimen. Beliau juga bergiat aktif dalam program persendirian untuk masyarakat di Pulau Pinang seperti Kem Kesihatan, Agihan Bakul Makanan dan Tuisyen Percuma.
Pengalaman bekerja turut merangkumi di Pesticide Action Network sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pernah bekerjasama dengan arwah Irene Fernandez Tenaganita di sektor perbankan, pengurusan dalam Syarikat Multinasional, serta berpengalaman menyertai pelbagai Majlis Kerajaan Negeri Pulau Pinang Bagi Penggal 2018-2023 sewaktu berkhidmat dengan syarikat berkaitan kerajaan Pulau Pinang
"Sangat teruja ketika pertama kali melangkah ke dalam Dewan Undangan Negeri dan berpeluang membahaskan usul. Sebagai seorang pelajar jurusan undang-undang, Sidang Wanita memberi satu dorongan dan bimbingan untuk menceburi arena politik."
Puan Zulikha Abdul Talib
EXCO
N22 Tanjong Bunga
Infrastruktur, Pengangkutan
dan Digital
Merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi MARA (UiTM). Kini beliau memegang jawatan sebagai Pengurus syarikat Zulikha Talib Resources yang menjalankan aktiviti pembinaan, ubah suai dan penyelenggaraan secara kecil-kecilan.
"Sebagai salah seorang ahli yang aktif dalam arena politik sebuah parti, sidang wanita merupakan satu wadah yang tepat bagi mengasah bakat berpidato serta memberi pengalaman yang lebih realiti tentang tatakelola dan protokol dalam Dewan Undangan Negeri. Peluang untuk saya memegang watak wakil rakyat telah meningkatkan lagi peluang untuk menimba ilmu pengurusan serta melontar idea-idea ke arah aspirasi dan visi Penang2030."
Puan Nooraimi Hani Ahmad Suhaimi
EXCO
N34 Paya Terubong
Pelancongan dan Ekonomi Kreatif
Berkelulusan Sarjana Pengurusan Hospitaliti dan sedang menghabiskan Sarjana Kedua dalam Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia di bawah tajaan Wanita Berdaya Selangor (WBS).
Berpengalaman luas dalam kerja-kerja kebajikan dan merupakan Pengerusi Pertubuhan Wanita Peduli (I-Wanita). Bergiat aktif dalam politik dan memegang jawatan Pengarah Komunikasi Angkatan Wanita Amanah (Awan) Selangor dan merupakan salah seorang Jawatankuasa Wanita Pakatan Harapan Selangor.
Sangat tegas dan lantang bersuara dalam isu-isu semasa terutamanya yang melibatkan hak wanita dan golongan rentan. Bercita-cita menjadi pemimpin wanita di peringkat negeri mahupun negara satu hari kelak.
"Sebagai seorang wanita yang terlibat dalam politik secara langsung, penglibatan dalam Sidang Wanita merupakan peluang yang sangat mahal bagi saya. Dikelilingi peserta dan pemimpin wanita hebat sepanjang sesi berlangsung telah meningkatkan daya saing dan menyakinkan lagi saya bahawa bidang politik adalah wadah terbaik untuk saya kekal berjuang membawa aspirasi rakyat dan kebajikan sejagat."
Puan Yew Su Fen
EXCO
N30 Sungai Pinang
Pembangunan Sosial,
Kebajikan dan Hal Ehwal
Bukan Islam
Pemegang Diploma dan Ijazah dalam bidang Fisioterapi dan kemanusiaan berkhidmat sebagai Pegawai Fisioterapi di Hospital Zainab II selama 5 tahun dan seterusnya di Hospital Pulau Pinang selama 31 tahun sehingga bersara.
Berpengalaman luas dan pernah bekerja dengan beberapa pengarah hospital sebagai Ketua Jabatan Fisioterapi, Pengerusi Bahagian Latihan Budaya Korporat untuk warga Hospital Pulau Pinang, Ketua Pegawai Liason kebersihan hospital, dan terlibat dalam aktiviti seperti ISO, Inovasi, Kualiti Inisiatif dalam penjagaan kesihatan.
Beliau Juga pernah dilantik sebagai Working Committee untuk Profesion Fisioterapi Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Menerima Anugerah Cemerlang sebanyak 4 kali serta Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang iaitu Pingat Kelakuan Terpuji dan Bintang Cemerlang Negeri.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Presiden Persatuan Fisioterapi Malaysia untuk 4 penggal (8 tahun), Presiden Asian Confederation Of Physical Therapy untuk 2 tahun, Vice Chair World Physiotherapy - Asian Western Pacific Region untuk 4 tahun, Timbalan Presiden Persatuan Confederation Of Allied Health Professional untuk 4 tahun. Menceburi dalam kerja sukarelawan sejak tahun 1989 sebagai Fisioterapi Sukarelawan di rumah orang tua seperti Silver Jubilee Home For The Aged hingga sekarang, pernah bekerja dengan Hawa, Hospice dan berkhidmat untuk Balik Pulau Buddhist Hermitage.
"Program ini memberi perubahan positif dalam diri yang mana saya belajar untuk mempertajam kemahiran komunikasi secara berkesan terutama ketika pembentangan dan perbahasan isu-isu yang penting berkait masyarakat dan pembangunan negeri. Saya sedar betapa pentingnya tanggungjawab seorang wakil rakyat yang menjaga keperluan masyarakat."
Puan Aswirna Sukur
EXCO
N19 – Jawi
Kerajaan Tempatan dan
Perancangan Bandar & Desa
Dibesarkan di dalam keluarga yang berpolitik di mana nenek beliau adalah Ketua Wanita Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) manakala ibu beliau aktif dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Presiden Pertubuhan Wanita Prihatin Pulau Pinang.
Memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Bioteknologi dan beliau menguruskan perniagaan selama 20 tahun sebelum memasuki dunia politik. Beliau merupakan ahli PKR yang aktif dan komited dengan kerja-kerja
amal termasuk program-program Pertubuhan Wanita Prihatin Pulau Pinang.
"Sidang Wanita telah membuka ruang untuk memperkasakan ilmu berkaitan tatakelola yang baik dalam memimpin, menjaga, melindungi dan juga membantu rakyat. Program ini telah membuka mata saya untuk memahami pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri."
Puan Nur Fatin Adila
Mohd Sabri
EXCO
N15 – Padang Lalang
Belia, Sukan dan Kesihatan
Merupakan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sastera Dengan Pendidikan dari Universiti Sains Malaysia. Sentiasa bergiat aktif sebagai aktivis mahasiswa dan turut menjadi salah seorang Majlis Kerja Tertinggi Majlis Mahasiswa Anak Pulau Pinang.
Memegang aspirasi bahawa anda tidak pernah salah dalam melakukan perkara yang betul dan wanita pemangkin negara sejahtera.
"Pengalaman menyertai Sidang Wanita telah membentuk saya menjadi seorang yang berani dan tidak gentar mengangkat suara serta mengetengahkan pendapat di khalayak. Sebagai seorang mahasiswi, platform ini menjadi pentas untuk saya mengasah bakat dalam bidang politik dan kemasyarakatan. Ilmu yang diperoleh akan dijadikan pedoman dalam mencorak masa depan."
Puan Kalah Rani Kenision
EXCO
N16 Perai
Perumahan dan Alam Sekitar
Berkelulusan dalam Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang Pentadbiran Perniagaan. Bermula sebagai Operator Pengeluaran di Motorola dan kini beliau adalah Pengurus di Benchmark. Sangat aktif di tempat kerja dan juga dalam program-program kemasyarakatan. Beliau adalah Bendahari Kehormat Malaysia Hindu Sangam Negeri Pulau Pinang dan Setiausaha Bahagian Gelugor dan kini beliau adalah Pengerusi Bahagian Gelugor.
Beliau menjalankan program kemasyarakatan seperti program kebajikan, pendidikan, wanita dan agama. Selain itu, beliau juga Pengerusi Biro Wanita di Ramakrishna Ashrama yang memantau kebajikan kanak-kanak. Pada 2021, beliau telah dianugerah Pingkat Jasa Kebaktian (PJK).
Beliau juga pernah bertugas sebagai Ketua Tempat Mengundi (KTM) selama 3 penggal bersama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
"Tanggal 2 Disember 2023 menjadi hari bersejarah dalam hidup saya kerana berpeluang merasai pengalaman menjadi ADUN dan EXCO. Ini adalah satu platform yang hebat untuk golongan wanita menampilkan diri dan menambah potensi untuk menjadi ahli politik."
Puan Nuruljannah Che Muret
EXCO
N36 Pantai Jerejak
Agroteknologi & Keterjaminan
Makanan dan Pembangunan
Koperasi
Graduan Muda dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan Kelas Pertama dalam bidang Sosiologi dan Antropologi.
Minat dan cakna dalam hal-hal berkaitan isu wanita, kumpulan minoriti, taraf hidup, dan kebajikan masyarakat. Aktif dalam organisasi pelajar di kampus; merupakan Setiausaha Agung Sekretariat Sosiologi Dan Antropologi Sesi 20/21.
Kerap melibatkan diri sebagai tunjang tenaga penggerak program seperti Webinar dan berpengalaman sebagai moderator forum. Kini, berkhidmat di Jabatan Perangkaan Pulau Pinang dan bercita-cita untuk menyambung pelajaran di peringkat Sarjana, sekali gus berhasrat untuk melibatkan diri lebih masa dalam persatuan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menimba ilmu baharu dan berkhidmat kepada komuniti.
Dalam perjalanan saya sebagai seorang pelajar yang baru sahaja berjinak dengan dunia politik dan pekerjaan, Sidang Wanita adalah platform untuk saya memahami selok belok pentas politik serta membuka ruang untuk berkenalan dan berhubung dengan figura-figura hebat di alam politik. Jati diri saya melonjak naik, dan rasa ingin berbudi kepada masyarakat semakin membuak setelah menyertai program ini.
Puan Norazida Mat Nayan
N02 Bertam
Berkelulusan dalam Diploma Teknologi Maklumat, Sal College Kuala Lumpur dan memulakan kerjaya sebagai Pegawai Pentadbiran di Jabatan Kemas Negeri Pulau Pinang, seterusnya sebagai Eksekutif Pentadbiran di Sekretariat Pengaduan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Pulau Pinang. Minat dalam kerja-kerja sosial dan kemasyarakatan serta aktif dalam parti politik UMNO dengan jawatan terakhir adalah Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Kepala Batas.
Beliau sering melibatkan diri dalam program-program sosial seperti Kempen Vaksin untuk Gelandangan, sukarelawan misi banjir dan juga program-program yang menyasarkan golongan asnaf dan gelandangan, edaran makanan percuma, free market dan pemeriksaan kesihatan percuma Harapan.
"Sidang Wanita memberi ruang untuk saya lebih mendalami perjalanan dan peranan seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab untuk menjadi suara dan badan bertindak kepada hak dan masa depan pengundi yang mengundi."
Prof. Madya Dr. Saraswathi Simansalam
N07 Sungai Puyu
Graduan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana (Master) Farmasi dari Universiti Sains Malaysia dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Pernah berkhidmat di sektor kerajaan dan swasta sebagai Ahli Farmasi sebelum menyertai bidang akademik pada tahun 2005. Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau pernah dilantik sebagai Dekan dan Timbalan Dekan serta berkhidmat dalam pelbagai lembaga dan jawatankuasa di universiti swasta.
Beliau tekad untuk menyampaikan ilmu dan kemahiran bagi membentuk masyarakat yang sejahtera dan sihat. Sebagai seorang aktivis, beliau terlibat dalam pelbagai aktiviti komuniti berdasarkan matlamat pembangunan lestari, dan berjuang untuk menyebarkan sistem sosioekonomi alternatif. Beliau komited untuk merapatkan jurang ketidaksamaan bagi membolehkan setiap orang membangunkan jati diri dan mengekalkan keharmonian.
"Saya berasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada PWDC atas penganjuran Sidang Wanita dan semua penceramah-penceramah serta sekretariat yang telah memberikan pengalaman yang bermakna ini. Ini adalah satu platform yang membuka ruang kepada wanita untuk berbakti kepada rakyat dengan mencari kaedah penyelesaian masalah rakyat."
Puan Tan Guat Kee
N08 Bagan Jermal
Berpengalaman sebagai Pengurus Pentadbiran, Sumber Manusia dan Akaun (1990-2008), Pengurus Operasi Pemasaran Antarabangsa (2009-2011), Pengurus Pentadbiran & Sumber Manusia (2012-2015) dan Pengurus Logistik, Pergudangan & Rantaian Bekalan (2016-2023). Menyertai politik pada tahun 2016 sebagai sukarelawan menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dilantik 2018 sebagai Ahli Jawatankuasa Cabang Kulim-Bandar Baharu pada 2018.
Dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Wanita Cabang Kulim-Bandar Baharu pada 2018. Beliau juga pernah menjadi ketua dan Jurulatih Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Mengira Undi (PACA) pada Pilihanraya Umum ke 14 dan 15. Beliau juga telah dilantik sebagai Ahli Panel Klinik Kesihatan Kulim untuk tahun 2023, Ahli Tetap Rumah Amal Kulim (Untuk OKU) pada 2018, Ahli Tetap Persatuan Tionghua Malaysia dan aktif dengan Persatuan Minda D'Home iaitu sebagai ahli & sukarelawan untuk membantu & memberi sokong mental.
Pemegang Diploma Perakaunan dari Institute of Financial Accountants, England dan mempunyai beberapa sijil seperti Sijil Pra-Sekolah, USM Pulau Pinang, Train The Trainer Certificate, PSMB Malaysia, Cert IV In Human Resource BSB41007, Australia dan Certificate In Training, Assesment & Evaluation (TAE), Australia.
"Perubahan demi perubahan berlaku kepada diri setelah saya menyertai Sidang Wanita Pulau Pinang 2023. Saya lebih cakna dengan hal ehwal politik berbanding sebelum ini dan segala ilmu yang disalurkan sepanjang penganjuran menyedarkan saya bahawa pentingnya penglibatan wanita dalam politik secara terus."
Puan Logashene Sukumaran
N09 Bagan Dalam
Merupakan tutor dan pemilik pusat tuisyen dengan pengalaman mengajar selama enam tahun. Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Bioteknologi dan Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang Pendidikan.
Kini, sedang melanjutkan pengajian dalam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) juga dalam bidang Pendidikan. Seorang yang feminis kerana percaya bahawa wanita pintar dan berkebolehan mempunyai hak untuk mendapat pendidikan berkualiti dan kerjaya pilihan mereka.
Aspirasi beliau adalah untuk memperjuangkan hak kesamarataan antara lelaki dan wanita serta meningkatkan kepimpinan wanita dalam bidang pendidikan.
"Sidang Wanita 2023 telah memberi pengalaman yang berharga kerana program ini bukan sahaja mengasah bakat kepimpinan saya malah memberi peluang untuk memahami tanggungjawab seorang wakil rakyat. Saya berasa bangga kerana dapat menyuarakan isu-isu masyarakat setempat dalam Dewan Undangan Negeri. Program ini telah berjaya memberi perspektif yang positif sebagai seorang ADUN"
Puan Dr. Puvaneswari Ramachandran
N13 - Berapit
Berpengalaman lebih 17 tahun dalam politik sejak umur 18 tahun dan beraspirasi untuk menjadi ‘Legendary Woman Politician’ seperti Perdana Menteri Wanita Pertama Britain, Margaret Thatcher dan Ketua Menteri Wanita Pertama Tamil Nadu, Jayalalitha.
Berpendidikan dalam jurusan perubatan namun lebih cenderung untuk berbakti dalam politik dan perkhidmatan sosial. Menyertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berbakti kepada rakyat.
Sidang Wanita memberi saya peluang untuk bertemu mata dengan pemimpin-pemimpin wanita yang komited dari pelbagai latar belakang. Kami berpeluang membahaskan isu-isu kritikal seperti kesaksamaan gender, hak asasi wanita dan pemerkasaan wanita. Ini adalah platform terbaik untuk bertukar idea dan mengangkat kapasiti wanita.
Puan Noor Azura Kassim
N14 Machang Bubuk
Seorang ibu kepada 3 orang anak dan pernah bekerja di sebuah syarikat swasta Secretary Firm selama 24 tahun.
Sekarang berniaga secara dalam talian dan mempunyai kedai menjual kuih frozen, penapis air hidrogen dan kasut bundle.
Aspirasi beliau adalah untuk menjadi wanita hebat dan berjaya di dunia dan akhirat serta dapat membantu wanita lebih maju ke hadapan demi rakyat Malaysia.
"Saya percaya bahawa keterlibatan aktif wanita dalam mengurus hal ehwal negara merupakan prasyarat penting untuk mencapai pembangunan yang berlanjutan dan inklusif. Kepercayaan ini membuatkan saya ingin melangkah lebih jauh dalam arena politik negara."
Puan Dr. Cynthia Roshini Thomas
N17 Bukit Tengah
Merupakan seorang doktor perubatan yang memegang Ijazah Sarjana Muda dari University of Leeds, United Kingdom dan meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang Developmental Psychology with Clinical Practice di University College London, United Kingdom. Pengkhususan ijazah sarjana beliau merangkumi perkembangan bayi, kanak-kanak dan remaja dari segi kesihatan mental dan emosi.
Kemudian beliau bekerja di Camhs (Islington Community Child And Adolescent Mental Health Services) di United Kingdom sebagai Assistant Developmental Psychologist dan terlibat dalam pelbagai kes terapi kanak kanak.
Setelah kembali ke tanah air, beliau telah mula bekerja dengan sekolah swasta sebagai kaunselor dan telah dianugerahkan “Most Productive Greenie” pada tahun 2022. Kini beliau bekerja sebagai Senco iaitu Penyelaras Pendidikan Keperluan Khas Kanak-Kanak di salah sebuah sekolah swasta di Selangor.
Selain daripada itu, beliau merupakan ahli seumur hidup Sneham Malaysia iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang yang terlibat secara aktif dalam pencegahan kes bunuh diri serta memberi taklimat berkaitan dengan kesihatan mental terutamanya di sekolah dan juga di acara awam.
"Saya bersyukur diberi peluang berhujah dan berbahas di pentas persidangan Sidang Wanita. Saya yakin peluang ini dapat membantu saya memperjuangkan kebajikan dan nasib golongan wanita yang tertindas."
Puan Tharani Kesavan
N18 Bukit Tambun
Merupakan seorang usahawan yang mempunyai dua buah perniagaan dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dari Universiti Sains Malaysia.
Berkhidmat sebagai Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai Selama 2 Tahun pada 2022 dan 2023. Menjawat
jawatan sebagai Setiausaha Parti Tindakan Rakyat (DAP) Cawangan Pulau Aman.
"Pengalaman istimewa sebagai peserta Sidang Wanita tidak akan pernah dilupakan. Bersemuka dengan 40 wanita hebat dan mendengar hujah bernas sewaktu bersidang mencetuskan harapan agar penganjuran ini diteruskan pada masa akan datang."
Puan Prabah Loganathan
N23 Air Putih
Pemegang Ijazah Muda Sarjana Pengurusan Hospitaliti dari Universiti Utara Malaysia dan berpengalaman sebagai Pengurus Latihan Sumber Manusia.
Cakna tentang keseimbangan kehidupan pekerja, mengurus program dan aktiviti untuk memastikan pekerja mampu bergiat aktif.
Komited menyebarkan kesedaran tentang pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat. Selain itu,
turut melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang selaras dengan hala tuju negeri dan negara.
Berhasrat untuk mewujudkan satu masyarakat yang menitikberatkan kualiti serta kesejahteraan hidup dan prihatin terhadap alam sekitar.
"Sidang Wanita merupakan satu peluang keemasan bagi wanita dari pelbagai latar belakang untuk meningkatkan peranan wanita dalam politik dan juga masyarakat. Melalui platform ini, lebih ramai wanita boleh menceburi bidang politik untuk membawa suara wanita ke peringkat yang lebih tinggi."
Puan Doris Liew Wan Yin
N24 Kebun Bunga
Seorang ahli ekonomi dan pemikir dasar awam dalam pembangunan ekonomi ASEAN, rangka kerja dasar, dan dinamik perdagangan serantau dan antarabangsa. Sering bekerjasama dengan pemimpin dan ahli perniagaan dari Singapura, Indonesia, dan Malaysia dalam kajian pembangunan serantau.
Menulis secara meluas untuk media tempatan dan antarabangsa, termasuk Economist Intelligence Unit (EIU), The Edge Malaysia dan Free Malaysia Today (FMT). Pemegang Sarjana Muda Ekonomi dari Nanyang Technological University dan Micromasters dalam Data Ekonomi dan Reka Bentuk Dasar dari Massachusetts Institute of Technology.
Kepakaran beliau dalam bidang ekonomi dan pengalaman yang meluas disumbangkan untuk memajukan wacana ekonomi dan penyusunan dasar di rantau Asia dan Malaysia.
"Sidang Wanita memberi saya peluang untuk mengalami peranan seorang ADUN termasuk tanggungjawab di kawasan, menangani kebimbangan rakyat, memahami isu tempatan dan memperjuangkan pembangunan dan kebajikan rakyat. Rangkaian yang terbentuk dari platform ini mampu mewujudkan komuniti sokongan yang kukuh bagi wanita di Pulau Pinang."
Puan Sunesha Munisamy
N25 Pulau Tikus
Merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Media, Universiti Malaya. Anak kelahiran Kajang, Selangor dan mendapat pendidikan rendah dan menengah di Seremban, Negeri Sembilan. Berkecimpung dalam bidang penulisan sejak dari sekolah rendah dan sehingga kini pernah menyiarkan artikel di platform media sosial dan
menerusi penerbitan buku tiada yang mustahil.
Beliau mula menjinakkan diri dalam bidang politik ketika menjadi Wartawan Pelatih di Bernama. Susur galur latar belakang pendidikan yang memfokuskan kepada media menambahkan lagi sensasi untuk mengambil tahu akan keadaan semasa politik negara.
Kini beliau sedang meneruskan perjuangan dalam mendalami situasi politik tanah air dengan menyertai pelbagai aktiviti dan program yang berkaitan. Aspirasi beliau adalah menjadi pemimpin yang berintegriti tanpa rasuah dengan membina masyarakat Malaysia terutamanya wanita ke arah politik yang lebih matang dan bersih dalam membina negara Malaysia yang maju dan makmur.
"Tidak sangka impian bersidang dalam Dewan Undangan Negeri menjadi satu kenyataan. Sidang Wanita, pencetus semangat diri saya belayar dalam bahtera politik secara lebih yakin dengan potensi diri sedia ada."
Puan Sharmila Kamal
N27 Pengkalan Kota
Beliau merupakan pemilik syarikat yang berasaskan industri makanan iaitu Hail Hanna Enterprise yang telah diasaskan sejak 2015 sehingga kini. Mempunyai semangat tinggi dalam apa jua bidang setanding dengan bakat dalam arena keusahawanan. Berfikiran secara kritis, bijak mengambil peluang, seorang yang berpendirian tegas dan berprinsip merupakan sifat yang ada pada diri beliau sejak azali lagi.
"Menyertai Sidang Wanita memberi kebanggaan pada diri kerana berjaya memperoleh pengalaman dan melibatkan diri dalam sistem pentadbiran dan perundangan di Pulau Pinang. Platform ini mampu melahirkan wanita yang teguh pendirian, berwawasan dan bermatlamat demi memperjuangkan hak bersama. Kunci dalam menjadi seorang wanita yang hebat adalah bermula dengan meletakkan kepercayaan pada kemampuan diri."
Puan Sivasangari Karthigai Raju
N28 Komtar
Beliau merupakan pengarah Vasighra Beauty House yang memiliki Diploma dalam Bidang Professional Kecantikan, Persolekan, Spa dan Penjagaan Bayi serta penjagaan Ibu sebelum dan selepas bersalin. Menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada tahun 2022 dan Small Medium Indian Business Award 2019 daripada Malaysian Book Of Records.
Beliau juga Ahli Perwakilan dan Ketua Wanita dalam Persatuan Malaysian Indian Chamber Of Commerce Pulau Pinang, Ketua Penerangan Persatuan Vanigakalam Pulau Pinang, Ahli Jawatankuasa Wanita Persatuan Indian Pulau Pinang, Ahli Jawatankuasa Persatuan Pembangunan Ekonomi dan Usahawan Masyarakat India Pulau Pinang serta Ahli Jawatankuasa Persatuan Hindu Sabah Pulau Pinang.
"Sidang wanita memberikan peluang untuk memahami dan langkah pertama untuk menceburi diri dalam politik. Saya pernah bercita-cita untuk masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang sebagai pemerhati, namun sidang"
Puan Thiviya Manoharan
N31 Batu Lancang
Merupakan seorang yang tegas terutamanya apabila melibatkan tentang kerja dan suka melibatkan diri dalam semua jenis aktiviti sosial.
Sejak pandemik beliau aktif turun padang menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan di sekitar Pulau Pinang sehingga ke Pahang.
Merupakan bekas pramugari yang pernah bertugas selama 8 tahun di awan biru dan ternyata pengalaman itu mendorong beliau untuk mencari keyakinan diri. Selepas berhenti dari industri penerbangan beliau memilih untuk menjadi sukarelawan di sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Negeri Sembilan iaitu Science And Wellness Orginasation selama 4 tahun dan berperanan sebagai penyelidik.
Kini beliau adalah pelajar tahun pertama dalam pengurusan organisasi strategi dan sains politik di Universiti Sains Malaysia.
"Dampak penganjuran Sidang Wanita, saya dapat menyaksikan persepsi masyarakat mengenai peranan wanita dalam politik kian terhakis. Masa depan wanita lebih bersinar jika lebih ramai pemimpin wanita yang mampan di negara ini."
Puan Mashitah Ismail
N32 Seri Delima
Mahasiswa tahun akhir Ijazah Sarjana (Master) Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia di bawah tajaan biasiswa Kerajaan Negeri Selangor.
Pada 2003 beliau telah dianugerahkan Siswi Harapan bagi kategori Persatuan Pelajar Cemerlang di Universiti Teknologi Mara.
Berpengalaman menguruskan perniagaan keluarga berasaskan menu Negeri Sembilan sejak tahun 1992. Semasa dan Pasca Covid-19, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada dua EXCO Wanita iaitu YB Dr Hajah Norlela Ariffin; EXCO Negeri Pulau Pinang dan YB Dr. Siti Mariah Mahmud; EXCO Negeri Selangor.
Kini bertugas sebagai Pengurus Pembangunan Program dan Advokasi di Wanita Berdaya Selangor. Beliau juga menyandang jawatan Penolong Setiausaha Wanita Pakatan Harapan Selangor dan Setiausaha Wanita Amanah Selangor juga berperanan sebagai Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Bonda Berdikari yang majoriti ahli terdiri daripada ibu tunggal.
"Pengalaman bersama 40 wanita hebat pastinya menjadi asbab dalam membina kesedaran dan perubahan positif yang memberi manfaat sebagai aktivis politik. Sidang Wanita merupakan ruang penghargaan kepada pencapaian wanita dalam masyarakat dan mampu menggalakkan lebih ramai wanita untuk terlibat dalam politik dan kepimpinan."
Dr. Thripurasundere Maharaja
N33 Air Itam
Beliau telah melanjutkan pengajian di peringkat Diploma dalam Pengajian Perniagaan di Swinburne University, Australia dan seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan Perniagaan di Trinity Saint David University, United Kingdom.
Meneruskan pengajian Ijazah Sarjana (Master) Pengurusan Perniagaan di Cardiff Metropolitan University, United Kingdom dan akhir sekali Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Sumber Manusia Antarabangsa di Universiti Sains Malaysia.
Mempunyai semangat kesukarelawanan yang tinggi dan telah mengambil inisiatif untuk membantu warga emas yang memerlukan dengan sumber kewangan dari keluarga dan sokongan kewangan dari derma orang awam.
Beliau turut memberikan tuisyen percuma kepada pelajar yang kurang berkemampuan serta memberikan bantuan barangan keperluan sekolah kepada pelajar yang memerlukan.
"Sidang wanita adalah platform untuk menghimpunkan wanita bagi menyuarakan isu-isu dan menggerakan pemerkasaan wanita. Ruang ini diambil dengan menimba pengalaman pengalaman dari tokoh-tokoh besar wanita dengan pengisian berinformasi. Sidang Wanita telah berjaya meningkatkan tahap keyakinan diri saya."
Puan Aniza Yahya
N35 Batu Uban
Berpengalaman hampir 30 tahun sebagai juruteknik kilang di Western Digital Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau merupakan pemegang Sijil Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS).
Merupakan seorang ibu kepada 3 orang anak yang masih belajar. Beliau juga tidak pernah terlibat dengan mana-mana NGO atau parti politik namun beliau adalah seorang yang cakna dengan politik.
Aktif dengan Kelab Rukun Tetangga serta aktiviti masyarakat setempat.
"Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada yang tahu. Begitulah diibaratkan ketika saya terpilih di kalangan 40 perwakilan wanita pada Sidang Wanita Pulau Pinang 2023. Satu peluang yang amat mahal kerana saya dapat merasai sendiri tugas dan tanggungjawab seorang wakil masyarakat."
Puan Azizun Ismail
N38 Bayan Lepas
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Prasekolah) dari Universiti Sains Malaysia dan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dari Universiti Malaya.
Mempunyai Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang konfeksionari dan bakeri.
Pernah berkhidmat sebagai tenaga pengajar secara sambilan dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak di Segi College dan UNITAR dan kini mengusahakan Kelas Pendidikan Awal Kanak-kanak di samping menjadi usahawan.
Melibatkan diri dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai tenaga pengajar.
"Sidang Wanita memberi satu pengalaman sebagai seorang wakil rakyat dan pendedahan tentang etika dan protokol bersidang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Saya juga amat teruja dapat menyuarakan isu-isu masyarakat setempat dan platform ini telah menyuntik semangat saya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat."
Puan Aini Najwa Othman
Ketua Pembangkang
N05 Sungai Dua
Pemegang Ijazah Sarjana Pendidikan (Pengurusan Pendidikan) dari Universiti Terbuka Malaysia yang kini sedang menyiapkan tesis bagi melengkapkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang yang sama.
Berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 23 tahun, sebagai guru besar. Beliau juga merupakan Graduan Cemerlang Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) serta Pembentang Terbaik Kolokium Pemimpin Cemerlang Institusi Pendidikan Kebangsaan 2022 serta Penerima Anugerah Khas Kesukarelawanan Pendidikan bagi tahun 2023 Pulau Pinang. Menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Anugerah Pingat Perkhidmatan Setia dari Persekutuan Pengakap Malaysia bagi tahun 2022.
Merupakan ahli Parti Keadilan Rakyat serta bergiat aktif sebagai aktivis dan sukarelawan dalam pelbagai misi dan juga merupakan Naib Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Pendidik Lestari Hijau Pulau Pinang (Grew). Beliau juga telah mengilhamkan idea program "Pantry Project" yang memfokuskan penyaluran bantuan serta sumbangan dari agensi swasta serta NGO lain terutama kepada wanita, kanakkanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
"Teruja dapat merasai sendiri pengalaman dan suhu Dewan Undangan Negeri ketika perbahasan serta memberikan saya semangat untuk lebih serius dalam politik demi memperjuangkan hak wanita dan kanak-kanak terutama dalam pendidikan serta berjumpa kawan baru dari pelbagai genre bidang."
Puan Hamizah Che Amat
N01 Penaga
Seorang ibu tunggal yang mempunyai 4 orang anak dan telah berkhidmat di sektor perkilangan selama 6 tahun. Kemudian beliau menjadi tukang masak selama 3 tahun dan seterusnya bekerja dengan Sunway Hotel sebagai telemarketing 2 tahun.
Kemudian beliau berkhidmat dengan ADUN Bukit Tegah selama 5 tahun. Pada 2013 menceburi bidang perniagaan dengan membuka sebuah butik pakaian dan kini kekal sebagai usahawan.
Kini melibatkan diri dengan Pertubuhan Kebajikan Negeri Pulau Pinang (B) Selaku Timbalan Setiausaha, Gerak Bakti Negeri Sembilan selaku Ahli Jawatankuasa dan Geesan Minda Malaysia.
"Sidang Wanita memberi peluang kepada saya untuk meningkatkan kapasiti diri dengan pengalaman bersidang dalam Dewan Undangan Negeri. Kami didedahkan dengan proses penyediaan Soalan Lisan dan Bertulis serta diberi peluang turun ke lapangan bersama wakil rakyat yang sebenar."
Puan Nur Kamilia Khairul Ed’zuan
N03 Pinang Tunggal
Seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Siber) dari Universiti Teknologi Petronas (UNITEN) tajaan Yayasan Tenaga Nasional. Kini sedang melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana (Master) Teknologi Maklumat di samping bekerja sebagai seorang Eksekutif Teknologi Maklumat di sebuah bank antarabangsa.
Dilantik sebagai ahli Parlimen Belia Malaysia (Pulau Pinang) pada tahun 2023. Berpengalaman luas dalam pengurusan program dan bergiat secara aktif dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Turut memegang jawatan sebagai Naib Presiden Majlis Mahasiswa Anak Pulau Pinang Kebangsaan, Koordinator Siswa Barisan Nasional dan juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Gerakan Belia 4B Negeri Pulau Pinang.
Mula berkecimpung dalam dunia politik sejak 2022 dan memilih parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) sebagai wadah perjuangan sehingga kini.
"Sidang Wanita telah memberikan peluang dan ruang kepada saya untuk memperoleh pengalaman berada di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bagi membawa dan membincangkan usul-usul berkaitan wanita bersama para perwakilan yang lain. Saya amat yakin bahawa suara wanita merupakan satu elemen yang sangat penting ke arah pembangunan dan kemajuan negara pada masa hadapan."
Puan Otr. Nur Shuhada Suntong
N04 Permatang Berangan
Beliau pernah bertugas dalam komuniti dengan kerjasama pelbagai unit dan jabatan kerajaan di Pejabat Kesihatan Daerah Bandar Baharu, Kedah selama 3 tahun.
Terlibat dalam pelbagai program seperti Job Coach JKM dan Return To Work Perkeso, Saringan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas, Saringan Kesihatan Jemaah Haji, Kerjasama Inter-Agensi Psikiatri Daerah Kuala Muda dan sukarelawan maya sokongan psikososial warga emas sewaktu Pandemik Covid-19.
Kini beliau berkhidmat dalam pasukan Multidisciplinary Stroke Rehabilitation yang memfokuskan pemulihan psikiatri dewasa, remaja dan warga emas.
Kepakaran beliau adalah dalam terapi stimulasi kognitif bagi pemulihan warga emas nyanyuk (Dementia). Selain itu, beliau juga merupakan Juruaudit Hospital Mesra Ibadah bagi Negeri Kedah, Timbalan Setiausaha Persatuan Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Setiausaha bagi Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah Peringkat Hospital Sultan Abdul Halim.
"Sidang Wanita Pulau Pinang 2023 memberi pengalaman peranan wakil rakyat yang amat berharga dari teori ke praktikal walaupun dalam tempoh yang singkat. Platform ini memberi peluang bersidang di Dewan Undangan Negeri sebenar bagi membincangkan hasrat dan isu penduduk setempat secara langsung."
Puan Suriani Wahab
N06 Telok Ayer Tawar
Seorang usahawan dan ibu tunggal yang mempunyai 3 orang cahaya mata. Aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Antaranya adalah Ahli Jawatankuasa (AJK) Pertubuhan Wanita Prihatin, Gerakan Amal Bersama (GRAB), Pertubuhan Khidmat Ummah (PKU) dan Pertubuhan Khidmat Ibu Tunggal (PKI). Sentiasa berusaha memajukan diri dalam perniagaan yang diceburi dan bersedia untuk memperjuangkan Islam serta mempertahankan hak-hak wanita.
"Terpilih menyertai Sidang Wanita dan bersidang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang adalah satu pengalaman hebat sekali gus mengasah bakat terpendam dalam diri. Berpeluang melebar luaskan jaringan kenalan dalam bidang dan minat yang sama."
Puan Muthurani Sivasamy
N10 Seberang Jaya
Memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Universiti Malaya dan berpengalaman selama 25 tahun dalam bidang tersebut. Memiliki tadika sendiri yang telah beroperasi selama 15 tahun dan juga Ahli Pengelola Tadika-Tadika India Malaysia di bawah naungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Pusat Pembangunan Kanak-Kanak Cemerlang. Sering dijemput untuk menganjurkan program-program keberkesanan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.
Kini menyandang jawatan Ketua Wanita Malaysian Indian Congress (MIC) Negeri Pulau Pinang dan Ahli Majlis Tertinggi Wanita MIC Kebangsaan. Selain itu, beliau juga memegang jawatan sebagai Pengerusi PERJUANITA Malaysia dan Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga, Jalan Semarak Api Serta Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Jalan Akuarium.
Aktif dalam memperjuangkan hak-hak wanita dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan perubahan yang akan menjamin kebebasan wanita pada masa hadapan.
"Sidang Wanita adalah platform yang telah membuka minda wanita tentang dunia politik semasa serta peranan sebagai wakil rakyat yang begitu mencabar. Program ini membantu mengenal diri dan memberi keupayaan untuk berbakti kepada masyarakat setempat."
Puan Hazwani Abdul Halik
N11 Permatang Pasir
Seorang penjawat awam di Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Pulau Pinang selama hampir 17 tahun. Aktivis belia dan sukarelawan di Pulau Pinang seawal umur 18 tahun dan menjawat jawatan Setiausaha Kehormat Pertubuhan Belia Liga Muslim dan Penolong Setiausaha Liga Muslim Pulau Pinang serta beberapa jawatan penting dalam pertubuhan yang bergerak aktif di sekitar Pulau Pinang. Pernah dinobatkan sebagai Tokoh Belia Wanita Pada tahun 2020 dan dianugerahkan Pingat Jasa Masyarakat (PJM) pada 2022 serta dinobatkan sebagai Tokoh Penggerak Muda GPMS pada tahun 2013.
Beliau banyak memimpin program dan aktiviti memperkasakan belia dari aspek pendidikan, kesihatan, usahawan, kebajikan, sukan, kepimpinan dan banyak lagi. Banyak membantu menguruskan isu-isu berkaitan kebajikan masyarakat melalui Pusat Khidmat Liga Muslim Pulau Pinang.
"Setiap detik di Sidang Wanita adalah detik yang mengukuhkan tahap keyakinan saya dan mendorong untuk bangkit bersama wanita-wanita hebat untuk berjuang sebagai wakil suara wanita. Sidang Wanita bukti wanita tidak hanya menjadi saksi sejarah, tetapi juga pencipta masa depan negara yang lebih baik."
Puan Nor Farrah Anis Hasnu
N12 Penanti
Berkelulusan Ijazah Sarjana (Master) Sains Sosial (Sains Politik) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Dengan Kepujian (Komunikasi Media) dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Terlibat secara aktif dalam bidang pengacaraan majlis rasmi, penulisan skrip, peragaan, seni lakon teater dan
persembahan kebudayaan. Semasa di universiti, pernah mengungguli anugerah Penyampai Berita TV Terbaik, Anugerah Penerbitan Kewartawanan Siaran Terbaik dan Anugerah Suntingan Laporan Khas Terbaik. Kini, berkhidmat dalam sektor kerajaan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
"Sidang Wanita pada hari ini akan melahirkan pemimpin negeri Pulau Pinang yang berkualiti kelak. Semoga kita bersedia menghadapi cabaran mendatang dan perubahan berlandaskan ilmu dan pengalaman yang dijadikan pedoman. Gunakanlah segala ruang dan peluang yang ada untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta sahsiah diri demi kecemerlangan yang diimpikan."
Puan Norisha Ibrahim Chong
N20 Sungai Bakap
Pembantu Penyelidikan dan pelajar Sarjana (Master) Pengurusan Prestasi (DEA) di Universiti Sains Malaysia. Pengasas dan Penyelidik bersama Perkhidmatan Sokongan Pusat Mel Pelajar sebagai transformasi pengetahuan untuk pelajar universiti awam dan swasta di Malaysia.
Beliau juga merupakan Pegawai Perhubungan, Pemuliharaan dan Biodiversiti (Bellevue, Penang Hill), Penolong Pengurus Produk (Makro Malaysia). Berpengetahuan dan berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan domestik dan antarabangsa (Logistik dan E-Commerce). Selain itu, beliau juga pernah bertugas sebagai Jentera Pilihanraya PWTC pada 2004.
Alumni Rakan Muda Badan Pencegah Rasuah Selangor Malaysia serta penglibatan dalam membantu aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan setempat. (KRT, NGO dan Persatuan Kebajikan).
"Sidang Wanita telah memberi pengalaman, peluang dan pendedahan untuk meningkatkan kapasiti diri dengan pengisian yang sangat berilmu. Program ini signifikan dalam menggalakkan pembangunan jati diri, penentuan strategik dan hala tuju politik wanita yang lebih matang dan relevan."
Puan Priathartsiny Balkerishna
N39 Pulau Betong
Merupakan bekas pensyarah universiti dan kini adalah usahawan dalam pelbagai bidang termasuk menjadi Pengarah Syarikat Pelancongan, Seven Pearls Tour And Travel Sdn Bhd. Beliau juga adalah Pengajar Sains dan Perunding Kewangan berwibawa.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi serta mempunyai pelbagai sijil dalam bidang pendidikan dan keusahawanan. Pernah menjadi Ketua Mentor Penang Women Entrepreneur Mentoring Programme (PWEMP) dan tenaga pengajar program Sri Murugan Centre.
Beliau kini dalam proses penulisan siri buku-buku rujukan biologi dan berhasrat mewujudkan program holistik cemerlang sains serta keusahawanan remaja.
"Saya bersyukur kepada tuhan kerana diberi peluang membahaskan isu berkaitan wanita dan pengurusan kewangan di dalam Sidang Wanita 2023. Program ini menyedarkan saya betapa pentingnya keterlibatan wanita dalam bidang politik. Saya juga berpeluang berjumpa wanita-wanita yang aktif menerajui tunggak kepimpinan negara."
Puan Sharifah I Kader Ibrahim
N40 Teluk Bahang
Berkelulusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia tahun 2016.
Berpengalaman lebih 22 tahun sebagai Guru Tabika Perpaduan di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Pulau Pinang.
Beliau turut menggalas jawatan sebagai Setiausaha Pergerakan Wanita Liga Muslim Pulau Pinang serta Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Paya Terubong. Selain itu, beliau juga adalah Ahli Wanita Persatuan Nurul Islam, Ahli Jawatankuasa Masjid Kapitan Keling, Ketua Wanita UMNO (Cawangan) Ayer Itam dan Penolong Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga Taman Terubong Jaya 1.
"Kehadiran platform anjakan paradigma ini amat penting untuk komuniti masa kini. Sidang Wanita memberi saya ruang untuk berkongsi pandangan dan hujahan isu terkini sesama wanita. Saya berasa dihargai dan bermotivasi untuk terus memperjuangkan hak-hak komuniti dalam kapasiti yang saya ada."